PBB Sahkan Lebih 2.7 Juta Pendatang Asing Terkandas Akibat Penularan COVID-19

PBB Sahkan Lebih 2.7 Juta Pendatang Asing Terkandas Akibat Penularan COVID-19

0
SHARE
Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB)...

GENEVA, SWITZERLAND – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan lebih 2.7 juta pendatang asing terkandas di luar, tidak dapat pulang ke negara asal ekoran larangan yang dikenakan setiap kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19.

Menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Pendatang (IOM) PBB, setiap negara perlu melaksanakan kerjasama dalam masa terdekat ini bagi membenarkan mereka yang terkandas pulang ke negara asal dengan selamat.

Melalui sebuah laporan, IOM turut memberi amaran bahawa penutupan pintu sempadan dan larangan perjalanan mengakibatkan pendatang terkandas dalam jumlah yang besar.

Lebih teruk lagi, golongan pendatang yang terkandas di negara luar kini dihalang untuk pulang ke negara asal disebabkan larangan berkaitan pandemik itu.

Ketua IOM, Antonio Vitorino, mendesak pelbagai negara supaya berbuat sesuatu terhadap 2.75 juta orang yang terperangkap dalam ‘tahanan’ itu.

“Puluhan ribu penguatkuasaan sekatan bergerak termasuk penutupan sempadan dan perintah larangan di seluruh negara dilaksanakan akibat COVID-19…

“Ini memerlukan komitmen dari setiap kerajaan untuk berhubung dengan negara asal pendatang ini bagi mengetahui kehendak dan perkara yang menjadi halangan.

“Pendatang ini sepatutnya boleh pulang ke tempat asal mereka secara selamat dan bermaruah, walaupun ketika berdepan kekangan COVID-19,” katanya.

IOM berkata, jumlah 2.75 juta itu diperoleh pihaknya dari sumber rasmi hingga tempoh 13 Julai lalu, membabitkan pendatang terkandas di luar yang memerlukan bantuan termasuk makanan, air, perlindungan dan pemulangan ke negara asal.

Mereka yang terkandas terdiri daripada pekerja sementara, pemegang permit kediaman sementara, penuntut antarabangsa dan pendatang atas sebab rawatan serta golongan pelaut.

Negara Timur Tengah dan Afrika Utara memiliki pendatang paling ramai terkandas iaitu 1.26 juta orang, diikuti Asia dan Pasifik dengan 977,000 orang.

Baki 203,000 orang adalah di Kawasan Ekonomi Eropah dan Switzerland selain 111,000 orang di Amerika Tengah dan Utara selain Caribbean.

Menurut IOM, berdasarkan data dari 382 lokasi di lebih 101 negara, ia di anggap sebagai tindakan penyisihan secara besar-besaran terhadap pendatang yang terkandas atau terkesan akibat COVID-19.

IOM berkata, pihaknya diminta memberi bantuan kepada kira-kira 115,000 pendatang yang mahu pulang ke negara asal secara sukarela dan hanya berjaya menzahirkan harapan lebih 15,000 golongan itu yang paling terjejas sejak beberapa bulan lalu.

“Apabila mereka terkandas, ada pendatang yang berisiko tinggi terhadap penyalahgunaan, eksploitasi atau pengabaian…

“Kehilangan mata pencarian berisiko meningkatkan pendedahan mereka terhadap eksploitasi oleh sindiket penjenayah, pemerdagangan manusia atau pihak lain yang ingin mengambil kesempatan,” katanya.