PDRM Sahkan Sindiket Macau Scam Didalangi Oleh Taiwan, China Dan Hong Kong

PDRM Sahkan Sindiket Macau Scam Didalangi Oleh Taiwan, China Dan Hong Kong

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kes penipuan melalui panggilan telefon yang mendakwa daripada institusi kewangan atau PDRM didalangi sindiket dari Taiwan dan China yang menggunakan talian antarabangsa dari Hong Kong dan tempatan.

Menurut laporan portal berita Bernama, Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datuk Asmawati Ahmad dipetik berkata bahawa PDRM telah menerima banyak aduan daripada mangsa yang terpedaya dengan panggilan palsu itu yang dikategorikan sebagai ‘Telecommunication Fraud’ atau Macau Scam sejak kebelakangan ini.

“Macau Scam melibatkan empat kategori modus operandi iaitu cabutan bertuah, tipu culik dan minta wang tebusan, ‘spoofing (pegawai polis/agensi kerajaan dan ‘spoofing’ (pegawai bank negara atau bank komersial).

“Spoofing adalah teknik di mana pemanggil (ahli sindiket) akan berkomunikasi menggunakan platform suara melalui protokol Internet (VoIP) bagi membolehkan pemanggil meletakkan sebarang nombor untuk memperdaya mangsa bahawa panggilan itu daripada nombor yang tertera di skrin,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Asmawati berkata bagi cabutan bertuah, mangsa akan menerima panggilan telefon kononnya telah memenangi pertandingan cabutan bertuah bernilai jutaan dolar daripada syarikat Hong Kong dan pemanggil kemudiannya memberikan nombor telefon untuk dihubungi jika mahu menuntut hadiah berkenaan.

“Mangsa kemudiannya diminta untuk memindahkan wang daripada akaunnya ke dalam akaun tertentu, kononnya bagi mengelak akaun mangsa dibekukan oleh pihak berkuasa.

“Spoofing pegawai bank negara atau bank komersial (kad kredit), mangsa menerima panggilan daripada seseorang yang mengaku sebagai pegawai bank dengan dakwaan bahawa mangsa gagal membuat bayaran kad kredit,” katanya.

Sejurus selepas itu, mangsa kemudiannya diarah untuk menghubungi seseorang, kononnya pegawai bank negara bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau akaun bank dibekukan.

“Mangsa akhirnya diperdaya untuk membuat pemindahan wang ke nombor akaun tertentu melalui e-banking atau melalui mesin deposit tunai,” katanya.

Asmawati berkata bagi tipu culik dan minta wang tebusan, mangsa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mendakwa anak atau saudaranya diculik dan diperdaya untuk memindahkan wang tebusan ke nombor akaun pihak ketiga yang diberikan oleh pemanggil.

“Oleh itu, PDRM menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah itu. Jika terima panggilan telefon sedemikian, usah panik dan jangan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil. Putuskan panggilan dan terus menghubungi pihak polis atau institusi kewangan terbabit,” katanya.

Asmawati berkata orang ramai diingatkan tidak menghubungi semula nombor telefon yang diterima itu, sebaliknya mendapatkan nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau institusi terbabit untuk pengesahan lanjut.

“Anda juga diingatkan agar tidak mendedahkan nombor akaun bank, nombor kad pengeluaran wang automatik (ATM) atau kad kredit kepada orang yang tidak dikenali. PDRM juga mohon kerjasama masyarakat yang menjadi mangsa penipuan ini agar membuat laporan polis,” katanya