Pelbagai Reaksi Masyarakat Sarawak Berhubung Penguatkuasaan Larangan Merokok

Pelbagai Reaksi Masyarakat Sarawak Berhubung Penguatkuasaan Larangan Merokok

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – Larangan merokok yang dikuatkuasakan di semua premis makan di  Sarawak mulai semalam, menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat setempat di sini.

Tinjauan Bernama di sini hari ini mendapati ada antara mereka berpendapat penguatkuasaan larangan merokok itu merupakan langkah positif manakala sebahagian lagi berkata merokok adalah tabiat yang sukar untuk dihentikan.

Seorang tukang cuci, Badaruddin Ibrahim, 51, berkata dia bersetuju dengan hukuman yang dikenakan kerajaan terhadap mereka yang didapati merokok di kawasan larangan iaitu denda tidak melebihi  RM10,000 atau penjara dua bulan.

“Bagaimanapun, pihak berkuasa perlu menghentikan penjualan rokok di negara ini bagi memastikan larangan merokok ini berkesan,” katanya.

Guru sekolah rendah, Jamal Mut, 53, yang mengaku berhenti daripada tabiat merokok sembilan tahun lepas, berkata larangan itu adalah inisiatif yang amat baik kerana ia akan memastikan persekitaran mesra keluarga yang bebas daripada asap rokok.

Sementara itu, pengurus restoran  Abdul Rahman Abdul Talib, 32, turut menyokong larangan merokok itu kerana ia memberi persekitaran yang kondusif kepada pelanggan untuk makan dan minum dengan selesa.

Susulan pelaksanaan larangan itu, premis makan yang didapati tidak mempamerkan tanda ‘Dilarang Merokok’ boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara enam bulan.

Perokok tidak boleh merokok dalam lingkungan atau di sekitar premis makan, dan jika perlu, mereka mesti berada pada jarak tiga meter dari premis berkenaan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian sebelum ini berkata kerajaan negeri bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan denda dalam tempoh enam bulan pertama penguatkuasaan pendidikan.

Sehubungan itu, pelaksanaan sebenar larangan merokok di Sarawak akan berkuat kuasa mulai 1 Sept.

– BERNAMA