Peluang Kedua Buat Guardiola

Peluang Kedua Buat Guardiola

0
SHARE

MANCHESTER – Pep Guardiola merasakan keputusan musim pertamanya sebagai pengurus Manchester City, akan menyaksikan dia dipecat jika bersama Barcelona ataupun Bayern Munich.

Guardiola memenangi 14 trofi sepanjang empat musim di Nou Camp dan tujuh dalam tempoh tiga tahun bersama Bayern.

Dia tidak pernah menamatkan kempen liga di kedudukan lebih rendah daripada tempat kedua sewaktu mengemudi Barcelona selain menjuarai Bundesliga sepanjang tiga musim di Jerman.

Tetapi pengendali dari Sepanyol itu melalui kehidupan yang lebih sukar di England.

Guardiola kini hanya berpeluang menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris di tangga ketiga, yang akan menjadi kedudukan paling rendah sepanjang karier pengurusannya. Dia juga akan menamatkan saingan tanpa trofi buat kali pertama sebagai pengendali sukan.

Dia mengakui bahawa dia perlu melakukan yang lebih baik jika dia mahu mengelak daripada dilabel sebagai satu kegagalan di Liga Perdana.

“Saya tidak tertekan ketika mula dilantik sebagai pengurus Barcelona, kerana tidak mempunyai sebarang reputasi untuk mempertahankan diri,” kata Guardiola.

“Di kelab itu, jika dalam tempoh enam bulan anda tidak menang, anda pasti dipecat. Di Barcelona atau Bayern Munich anda perlu menang. Jika tidak, mereka tidak memberikan peluang kedua buat anda.

“Di sini mereka memberi saya peluang kedua dan kami akan cuba melakukannya,” tambahnya.

Guardiola menyertai City dengan kontrak selama tiga tahun pada Julai 2016 selepas meninggalkan Bayern Munich dan masih mendapat sokongan penuh pemilik kelab Sheikh Mansour dan pengerusi kelab, Khaldoon Al-Mubarak.

Dia mengakui dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris – bercakap beberapa kali musim ini tentang jumlah pesaing yang banyak untuk merebut tempat kelayakan Liga Juara-Juara dan mengakui terkejut berkenaan bagaimana cabaran yang dianggap faul di Sepanyol dibenarkan di Liga Perdana Inggeris.

“Jika apa yang berlaku musim depan tidak bagus, saya akan mempunyai satu tahun lagi kontrak saya. Jika tidak berjalan dengan baik, mereka akan menukar pengurus,” kata Guardiola.

Guardiola mengakui pemain-pemainnya sudah melakukan yang terbaik untuk musim ini, tetapi terpaksa menerima padah kerana tidak cukup tajam dibahagian serangan dan terlalu longgar di bahagian pertahanan.

– AFP