Peluang Kerjaya Buat Belia Di Sepanjang Jajaran Lebuhraya Pan Borneo – Baru...

Peluang Kerjaya Buat Belia Di Sepanjang Jajaran Lebuhraya Pan Borneo – Baru Bian

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – Para belia yang berkemahiran di Sarawak dapat meraih peluang kerjaya dengan kewujudan pusat perindustrian dan komersial di sepanjang jajaran Lebuhraya Pan Borneo, kata  Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Baru berkata selain itu, mereka yang menerima latihan melalui Akademi Binaan Malaysia (ABM) juga berupaya menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri ini, termasuk dalam Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Saya menyokong dasar kerajaan yang akan meneruskan aspek pembangunan Sarawak melalui Projek Lebuhraya Pan Borneo. Ini selaras dengan usaha Kementerian Kerja Raya yang merupakan peneraju pembangunan  infrastruktur negara,” katanya dalam satu kenyataan selepas merasmikan Hari Kerjaya dan Sesi Libat Urus Kementerian Kerja Raya di Lawas hari ini.

Kemuncak program tersebut adalah majlis perasmian dan pelancaran ‘Drop Your Resume Day’, iaitu penyerahan maklumat diri oleh belia-belia tempatan yang berminat untuk mengikuti latihan kemahiran di ABM.

Baru berkata sejak 1997 sehingga kini, ABM telah melatih lebih  377,000 belia dan kakitangan binaan dalam pelbagai bidang kemahiran pembinaan.

Di Sarawak sahaja, katanya lebih 37,000 belia dan kakitangan binaan dilatih di ABM  sejak 2010.

Sebelum itu, beliau meninjau dan menyerahkan bantuan berupa peralatan sekolah kepada pelajar-pelajar di beberapa buah sekolah sekitar Daerah Lawas di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) peringkat kementerian berkenaan.

– BERNAMA