Peluang Tipis Untuk UMNO Bertapak Di Sarawak

Peluang Tipis Untuk UMNO Bertapak Di Sarawak

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK – UMNO boleh sahaja mengembangkan sayapnya ke Sarawak tetapi belum pasti parti dari Semenanjung itu akan diterima oleh rakyat Sarawak, kata seorang penganalisis politik.

Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, Pensyarah Kanan, Universiti Malaya berkata kewujudan UMNO di Sarawak ditolak ketika zaman pemerintahan bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Tan Sri Adenan Satem dan kini Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Malah, katanya sudah ada ‘gentleman agreement’ antara era Taib dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak membenarkan UMNO bertapak di Sarawak.

Katanya, ketika itu ramai pengundi luar bandar tidak dapat memisahkan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) kerana yang disokong mereka bukan parti tetapi lebih kepada logo BN.

Bagaimanapun, katanya landskap politik sudah berubah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila Dr Mahathir sudah berada di pihak Pakatan Harapan, manakala Taib tidak lagi aktif dalam bidang politik.

“Jadi UMNO boleh mencuba nasib memperluaskan pengaruh ke Sarawak bukan kerana kekuatan atas nama UMNO itu sendiri…

“UMNO mungkin disukai sesetengah bumiputera Islam di Sarawak kerana mereka tahu UMNO tidak bersalah tetapi pemimpin terdahulu yang mencemarkan imej UMNO,” kata Awang Azman kepada Bernama.

Pada masa yang sama, sebenarnya kekuatan UMNO terdapat pada penggunaan logo BN, logo yang dipercayai pengundi luar bandar di Sarawak.

Katanya, UMNO juga boleh meletakkan mana-mana parti tempatan baharu bertanding menggunakan logo BN jika tidak mahu UMNO bertapak di Sarawak.

“Ini dilakukan bagi mengajar empat bekas komponen BN yang mengkhianati BN, namun tindakan ini mungkin berkubur jika BN dibubarkan dan digantikan logo lain…

“Begitu juga terdapat spekulasi UMNO mungkin diharamkan kerana isu tak mengikut peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” kata Awang Azman.

Jika ini berlaku, katanya maka harapan UMNO bertapak di Sarawak semakin gelap.

Apapun menurut Awang Azman peluang UMNO bertapak di Sarawak adalah tipis dan beliau menyarankan penubuhan parti tempatan baharu tetapi mengguna logo BN untuk tewaskan musuh politik mereka termasuk empat parti yang telah mengkhianati BN.

– BERNAMA