Wednesday, January 16, 2019
Pemandu GRAB Dilarang Menunggu, Mencari Penumpang – JPJ

Pemandu GRAB Dilarang Menunggu, Mencari Penumpang – JPJ

0
SHARE

PUTRAJAYA – Pemandu kenderaan e-hailing atau Grab dilarang menunggu atau mencari penumpang ketika menjalankan perkhidmatan di mana-mana tempat termasuklah di lapangan terbang, kata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

JPJ dalam satu kenyatan hari ini berkata, perkara itu termaktub di bawah syarat-syarat lesen pengendalian e-hailing yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Katanya, pemandu e-hailing dikehendaki mematuhi salah satu daripada syarat perkhidmatan e-hailing iaitu pemandu hendaklah mengambil penumpang yang dilanggan melalui perkhidmatan atas talian mudah alih atau aplikasi yang disediakan oleh syarikat pengendali.

“Mana-mana pemandu perkhidmatan e-hailing yang gagal mematuhi mana-mana syarat yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah peruntukan tersebut,” katanya.

JPJ berkata demikian bagi mengulas hantaran di Facebook berhubung dakwaan pemandu GRAB disaman JPJ di bawah kesalahan menggunakan Lesen Kenderaan Moto (LKM) kerana mengambil pelanggan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada Selasa lalu.

– BERNAMA