Pembantu Tadbir Dipenjara Dan Denda RM5000 Kerana Rasuah

Pembantu Tadbir Dipenjara Dan Denda RM5000 Kerana Rasuah

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang pembantu tadbir di Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Kota Kinabalu dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini  hari ini  atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM1,290 pada Januari 2017.

Tertuduh, Roslan Bior, 39, mengaku bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Roslan menerima untuk dirinya wang tunai RM1,290 daripada Naimah Makah dengan tiada balasan, yang diketahui ada hubungan dengan tugas rasminya dalam memproses pembayaran dana Interim Stage Bus Support Fund atas nama Syarikat Pengangkutan Nursaiful.

Kesalahan itu dilakukan antara jam 10 pagi hingga 10.20 pagi di Azri Café Wisma Muis Kota Kinabalu pada 25 Jan 2017.

Roslan dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman dikurangkan kerana itu merupakan kesalahan pertama dan dia telah menyesali perbuatan itu, selain menanggung ahli keluarganya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari pada hari ini serta denda sebanyak RM5,000 dan sekiranya gagal bayar denda tersebut, akan dikenakan hukuman penjara tiga bulan.

Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Faliq Basiruddin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fauzi Formusa.

– BERNAMA