Malaysia Airlines Beri Pembatalan Dan Perubahan Tarikh Secara Percuma Bagi Penerbangan Ke...

Malaysia Airlines Beri Pembatalan Dan Perubahan Tarikh Secara Percuma Bagi Penerbangan Ke China

0
SHARE

SEPANG – Pembatalan tiket penerbangan dengan bayaran semula serta perubahan tarikh tiket secara percuma akan diberikan kepada individu yang telah merancang awal penerbangan dari Malaysia ke China dan sebaliknya.

Hal ini telah disahkan sendiri oleh pengumuman Malaysia Airlines semalam selepas Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak mengenakan sekatan masuk sementara ke atas warganegara China dan warga asing yang telah mengembara ke China dalam tempoh 14 hari terakhir.

Mereka yang mempunyai Pas Bekerja, Pas Pelajar dan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang akan dibenarkan masuk dan tertakluk kepada kuarantin wajib sendiri di rumah selama 14 hari untuk mengurangkan penyebaran wabak 2019 novel koronavirus di negeri itu.

Syarikat penerbangan itu berkata penumpang memegang tiket yang dikeluarkan pada atau sebelum 28 Januari untuk perjalanan bagi tempoh dari 28 Januari hingga 29 Februari ke dan dari Beijing, Shanghai, Guangzhou dan Xiamen akan dibenarkan untuk pembatalan dengan bayaran balik penuh.

Mereka juga boleh membuat perubahan sekali sehaja bagi tiket penerbangan dengan pengecualian fi perubahan dan pembatalan, menurut Malaysia Airlines dalam kenyataan hari ini.

Syarikat penerbangan tersebut berkata tawaran berkenaan terpakai bagi tiket belum digunakan sepenuhnya dan tiket yang telah digunakan sebahagiannya.

Selain itu, perjalanan yang disemak semula atau alternatif mesti pada atau sebelum 31 Mei, 2020 dan tertakluk kepada ketersediaan penerbangan, menurutnya.

“Kakitangan Malaysia Airlines akan mengedarkan borang di kawasan menunggu sebelum berlepas kepada penumpang yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu; Kota Kinabalu-Kuching; dan Singapura-Kuching,” menurut Malaysia Airlines.