Pembinaan Projek HSR Tidak Mempunyai Kepentingan

Pembinaan Projek HSR Tidak Mempunyai Kepentingan

0
SHARE
Sumber Foto; FMT

KUALA LUMPUR – Pembinaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dilihat tidak mempunyai kepentingan dan berdaya maju ketika ini.

Memetik kenyataan Sinar Harian, penganalisis ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai dipetik berkata bahawa projek HSR sebagai projek mewah kerana perjalanan kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Singapura tidak dilihat sebagai satu kemudahan diperlukan pada masa kini.

“Kita lihat pasarannya belum bersedia kerana permintaan kepada perkhidmatan sedemikian pada masa ini belum wujud. Sudah ada dua kaedah pengangkutan cekap iaitu pengangkutan udara yang boleh sampai ke Singapura dalam masa satu jam dan juga jalan raya sangat baik antara Kuala Lumpur dan Singapura.

“Jadi projek ini tidak dilihat sebagai satu projek penting kepada pembangunan negara pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata, pembatalan projek berkenaan juga berkait dengan cara penstrukturan dan perundingan dilakukan.

“Kita lihat kos dianggarkan lebih RM50 bilion dan ini sangat tinggi, berbanding kos untuk projek sama di negara lain. Ada yang menganggap, ia dua kali lebih tinggi daripada kos normal.

“Menjadi perkara biasa apabila bertukar kerajaan, banyak projek telah dirancang tetapi belum dilaksanakan akan dikaji…

“Ini adalah salah satu projek dikaji semula dan diputuskan untuk dibatalkan dan saya rasa projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga akan mengalami keadaan yang sama,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembinaan landasan kereta api berkenaan tidak memberi manfaat kepada negara kerana jaraknya yang dekat.