Pemimpin Yang Tidak Tercalon Dinasihat Terus Setia Dengan Parti

Pemimpin Yang Tidak Tercalon Dinasihat Terus Setia Dengan Parti

0
SHARE
SAPAWI (tengah) menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang di majlis itu...

BEAUFORT, SABAH – Exco Penerangan Umno Sabah, Datuk Sapawi Ahmad menasihatkan ahli atau pemimpin parti yang tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) agar tidak kecewa, sebaliknya terus berjuang bersama Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, kesetiaan semua diperlukan bagi memastikan selain menang majoriti lebih besar, Barisan Nasional (BN) terus mentadbir negara ini demi kepentingan seluruh lapisan masyarakat.

Katanya, kepentingan rakyat dan parti lebih utama kerana ia adalah dasar perjuangan Umno/BN sejak sekian lama berbanding parti pembangkang yang sebahagiannya besarnya terdiri daripada pemimpin kecewa.

“Jangan kecewa…sabar kerana perjuangan parti lebih utama..siapa saja calon kita, pastikan disokong sepenuhnya kerana ia membabitkan masa depan negara serta kepentingan generasi akan datang.

“Saya sendiri tidak akan kecewa jika tidak tercalon kerana percaya perjuangan parti lebih penting daripada agenda peribadi dan pada masa sama sebagai bukti kesetiaan saya yang tidak berbelah bahagi.

“Malah, saya akan terus menyokong, termasuk membantu calon BN berkempen demi memastikan parti ini menang,” katanya selepas merasmikan Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangiran Omar, di sini.(17 April)

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini meminta penyandang kerusi parlimen BN yang tidak tercalon supaya terus menyokong dan membantu calon baharu yang menggantikan mereka.

Beliau yang juga Perdana Menteri turut meminta mana-mana yang terpilih semula sebagai calon agar melipat gandakan lagi usaha turun padang khususnya menjelang PRU14 ini.

Sapawi yang juga penyandang Parlimen Sipitang turut supaya tidak melakukan tindakan khianat termasuk menderhaka kepada parti hingga membawa kepada unsur sabotaj akibat kecewa tidak tercalon.

“Sebaliknya, kita harus redha dan pada masa sama istiqamah dalam perjuangan BN kerana walaupun perbuatan sabotaj tidak akan menjejaskan kekuatan BN, namun tindakan ini tidak menguntung sesiapa,” tegasnya.