Pengagihan Pembersih Tangan Dan Tisu Basah Kepada Masjid Tumpuan Pelancong Bagi Elak...

Pengagihan Pembersih Tangan Dan Tisu Basah Kepada Masjid Tumpuan Pelancong Bagi Elak Jangkitan ‘Koronavirus’

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Prihatin dengan isu jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) dan sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan mengambil langkah mengagihkan pembersih tangan dan tisu basah kepada masjid yang menjadi tumpuan pelancong di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata ia merupakan antara usaha kerajaan bagi memastikan masjid tumpuan pelancong terpelihara daripada sebarang jangkitan koronavirus.

“Hari ini kita memilih Masjid Jamek Sultan Abdul Samad kerana masjid ini ramai pengunjung yang datang. Kita edarkan pembersih tangan mini yang boleh dibawa ke mana-mana sebagai kesedaran kepada pengunjung untuk menjaga kesihatan sepanjang (musim) virus ini (masih ada), yang menjadi ‘kebimbangan kesihatan awam,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kedua-dua item kepada 18 wakil masjid sekitar ibu negara.

Mujahid berkata pembersih tangan dan tisu basah itu akan diagihkan oleh wakil masjid kepada orang ramai, termasuk jemaah dan pelancong asing.

Minggu lepas, media melaporkan bahawa beberapa masjid tumpuan pelancong ditutup kepada golongan itu berikutan kebimbangan berhubung isu jangkitan koronavirus.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bukan dasar kerajaan untuk  menghalang pelancong daripada mengunjungi lokasi yang menjadi tumpuan mereka, termasuk masjid.

– BERNAMA