Penganjuran “Oktorberfest 2018″ Gambarkan Malaysia Sebagai Lokasi Aktiviti Bebas – PAS

Penganjuran “Oktorberfest 2018″ Gambarkan Malaysia Sebagai Lokasi Aktiviti Bebas – PAS

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KUALA LUMPUR – Malaysia seolah-olah digambarkan sebagai lokasi bebas dan selesa buat masyarakat luar selepas penganjuran pesta arak “Oktorberfest 2018″  di negara bakal dilaksanakan tanpa ada sebarang usaha halangan dari pihak berkuasa yang berkaitan.

Ini selepas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata pesta arak “Oktorberfest 2018″ yang berlangsung di Mid Valley hari ini boleh diteruskan selagi tidak melanggar undang-undang.

Beliau berkata, ini kerana pesta di kompleks membeli-belah itu dijalankan secara tertutup dan tidak dilakukan di kawasan terbuka.

“Oktoberfest itu kalau dalam premis tidak ada keluar, tidak ada mabuk kacau orang dalam premis tidak apa sebab mereka memang jual arak, alkohol di dalam tu…

“Kalau minum dalam premis tu, minumlah tapi kalau letak iklan besar-besar itu tidak boleh, itu kita akan turunkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2018.

Perkara ini menyebabkan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Wangsa Maju, Mohd Abdul Hadi Ghazali menegaskan bahawa sekiranya ia dibiarkan, penganjuran itu seperti tidak terikat dengan sebarang sekatan undang-undang dan peraturan.

“Kami ingin mempersoalkan adakah kebanyakan rakyat Malaysia mahukan pesta arak yang sedang hangat diperkatakan itu diadakan di negara kita ini? Suara majoriti rakyat serta pertimbangan pihak berkuasa keselamatan negara adalah penting kerana negara ini diperintah melalui sistem demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi DPPK Wangsa Maju hari ini.

Justeru ujar beliau, kerajaan persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak harus membiarkan acara itu berlangsung dengan membatalkan sebarang permohonan permit daripada pihak penganjur demi menjaga sensitiviti agama Islam dan bangsa melayu.

“Pesta Arak yang bakal dianjurkan ini juga akan memberikan impak negatif kepada Malaysia sebagai negara Islam dipersada dunia. Penganjuran pesta arak pada tahun ini agak mencuri tumpuan ramai apabila ramai pihak yang mula sedar tentang keburukan menganjurkan program yang menjadi ‘raja’ kepada kemaksiatan dan salah laku.

“Dalam penganjuran pesta arak ini, walaupun penganjur beralasan ia adalah aktiviti untuk bukan Islam termasuk mempromosikan pelancongan terhadap masyarakat, namun, yang paling dikesali kerana mereka memilih Malaysia sebagai lokasi pesta arak,” katanya.