Pengundi Desak Diadakan PRK Untuk Parlimen Pensiangan

Pengundi Desak Diadakan PRK Untuk Parlimen Pensiangan

0
SHARE

PENSIANGAN, SABAH – Lebih kurang 1,000 orang ahli Parti Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pensiangan berkumpul, mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mengadakan pilihan raya kecil untuk parlimen Pensiangan kerana tidak bersetuju dengan keputusan pilihan raya umum (PRU14) bagi parlimen Pensiangan yang dipercayai berunsur rasuah.

Ketua perhimpunan aman itu, Robinson Rusikan, berkata tindakan menentang dan membantah keputusan itu adalah berdasarkan bukti yang kukuh tentang cara pegawai-pegawai dan calon yang mendesak pengundi agar mengundi calon Barisan Nasional (BN) parlimen Pensiangan Arthur Joseph Kurup dengan berunsurkan rasuah dan penipuan.

Katanya, keputusan PRU14 bagi kawasan parlimen Pensiangan adalah tidak sah dan penyokong-penyokong PH meminta agar diadakan pemilihan semula untuk menentukan calon yang benar-benar menjadi pilihan rakyat tanpa berunsurkan rasuah.

Robinson (duduk depan, keempat dari kanan) bersama penyokong-penyokong PH ketika perhimpunan aman itu…

Cadangan agar diadakan pilihan raya umum untuk Parlimen Pensiangan kerana sudah banyak laporan polis dibuat berkenaan perbuatan rasuah tersebut oleh pengundi dan penyokong PH.

“Kami mahu supaya pilihan raya umum kecil diadakan di Pensiangan, kerana kami tidak menerima keputusan PRU14 yang baru dilakukan yang berunsurkan penipuan.

“Ada bukti-bukti tentang penipuan dan rasuah di kawasan Pensiangan yang perlu diperbetulkan melalui pilihan raya kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika perhimpunan aman di sebuah rumah di Kg.Sarikan, di sini pada petang Ahad.

Beliau menambah, kemasukan calon BN dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup dan presidennya Tan Sri Joseph Kurup ke PH adalah ditegah dan ditentang habis-habisan kerana ia tidak patut berlaku demikian.

“Kami menentang keras kemasukan PBRS ke PH kerana mereka menentang PH dalam PRU14 dengan pelbagai tohmahan, fitnah dan penipuan, pemimpin PBRS atau calonnya juga tidak layak masuk PH kerana mereka hanya inginkan kepentingan sendiri dalam parti yang memerintah.

‘Kami menolak kemasukan PBRS, biarlah parti itu berkubur buat selamanya ketika ini, semua wakil pergerakan pemuda, wanita dan bahagian mewakili parti Keadilan, Warisan dan DAP menolak kemasukan PBRS ke PH,” katanya.

Sementara itu, jika diadakan pilihan raya kecil, PH sudah ada calon iaitu, Dato Seri Anwar Ibrahim, kerana beliaulah yang memperjuangkan parti Keadilan dan pembangkang semasa PH belum menjadi kerajaan.

“Kini BN adalah pembangkang, jadi sama-samalah merasakan situasi menjadi pembangkang, kerana kami inginkan pembangunan pesat bagi Pensiangan, kerana hidup kami jauh lebih mundur ketika BN memerintah di sini,” katanya.

“Kita mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim dicalonkan di parlimen Pensiangan agar beliau menjadi Perdana Menteri nanti menggantikan Tun Dr.Mahathir Mohamad, kerana calon parti Keadilan Raymond Ahuar memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di sini.

“Ini demi memastikan pembangunan pesat untuk rakyat Pensiangan, menikmati perubahan, sesuai dengan slogan reformasi dan Sabah Ubah” jelasnya.

Hadir sama ialah Safiq Joseph Tinggi, wakil Sook Jimin Abdullah dan Datuk Dr.Sangkar Rasam.

Dengan laungan slogan Reformasi dan Sabah Ubah kumpulan ini mengharapkan pucuk pimpinan Pakatan Harapan agar menolak Arthur.

Mereka merentangkan kain dan kertas dengan tulisan “Biar PBRS jadi pembangkang, PBRS dilarang masuk PH, Minta pilihan raya kecil parlimen Pensiangan diadakan semula dan berbagai lagi.”