Pengundi Muda Diminta Bijak Pilih parti Yang Boleh Bawa Negara Dan Sabah...

Pengundi Muda Diminta Bijak Pilih parti Yang Boleh Bawa Negara Dan Sabah Ke Hadapan

0
SHARE
Anifah (tengah) bersama pemimpin BN Kimanis dan golongan muda di majlis itu...

MEMBAKUT, SABAH – Pengundi muda terutamanya mereka yang pertama kali menjadi pemilih dinasihatkan supaya bijak membuat pilihan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman berkata, penglibatan dalam proses pilihan raya adalah peluang bagi golongan ini terlibat terus dalam menentukan masa depan diri sendiri dan negara.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Kimanis mahu, generasi muda sebagai pemimpin pelapis harus bijak menilai parti mana yang mampu membawa negara terus maju ke hadapan.

“Ia penting kerana menjadi harapan kita sebagai rakyat Malaysia supaya kemajuan yang dikecapi negara hari ini dapat diwarisi kepada generasi akan datang dan jauh lebih baik daripada yang ada ketika ini.

“Justeru, anak-anak semua harus bijak memilih kerana hanya Barisan Nasional (BN) saja parti yang benar-benar membela rakyat serta membawa kemakmuran kepada negara sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pengundi Pertama Kali anjuran Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kimanis di Eco Lake, di sini pada Ahad.

Anifah yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis juga mengingatkan pengundi muda supaya tidak terpengaruh dengan slogan parti pembangkang yang gemar menghasut pemikiran untuk meraih undi.

Berkongsi pengalamannya sebagai Menteri Luar, beliau berkata banyak negara bergolak ketika ini adalah disebabkan hasutan kumpulan yang kononnya mahu membawa perubahan sedangkan yang berlaku adalah sebaliknya.

“Kita harus ambil iktibar daripada negara yang bergolak pada masa ini seperti Syrian dan beberapa negara Timur Tengah lainya hingga timbul bermacam krisis kemanusian.

“Sedangkan sebelum ini negara terbabit makmur, namun akibat ada pihak yang kononnya mahu perubahan hingga berlaku perkara sebaliknya,” katanya.

Sehubungan itu katanya, seluruh rakyat wajar bersyukur dengan iklim keamanan negara pada masa ini hasil pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang wajar dipertahankan pada PRU14 nanti.