Peningkatan Tarif Perkhidmatan Pos Malaysia Mampu Tingkat Prestasi Kewangan

Peningkatan Tarif Perkhidmatan Pos Malaysia Mampu Tingkat Prestasi Kewangan

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Tujuh kesatuan pekerja Pos Malaysia Berhad yakin syarikat itu dapat meningkatkan prestasi kewangan serta perkhidmatan sekiranya tarif perkhidmatan pos dinaikkan dan digugurkan daripada penyeliaan kerajaan.

Dalam satu kenyataan bersama, tujuh kesatuan itu berkata bahawa pendapatan yang diperoleh selepas tidak mendapat kenaikan tarif selama 10 tahun tidak dapat mengimbangi kos operasi yang tinggi.

“Jadi semua pihak kesatuan merasakan kini adalah masa yang tepat dan wajar bagi kerajaan memberi kelulusan tarif yang baharu kepada Pos Malaysia serta menggugurkannya daripada pengawalseliaan agar syarikat dapat bersaing seiring dengan perubahan landskap dunia perniagaan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Pos Malaysia dapat meningkatkan prestasi kewangannya melalui penjanaan pendapatan tambahan bagi mengimbangi kerugian yang berlaku disebabkan perubahan pesat teknologi dalam industri.

Ketujuh-tujuh kesatuan berkenaan mengalu-alukan keprihatinan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang dilaporkan sedang memberi perhatian kepada cadangan itu dan berharap ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

“Pihak Kesatuan amat berterima kasih kepada Menteri yang mengambil langkah proaktif terhadap masalah tarif yang tidak diberi kenaikan sejak kira-kira 10 tahun yang lalu.

“Kenaikan tarif yang terakhir kepada harga 60 sen adalah pada tahun 2010 dan sepatutnya selepas itu Pos Malaysia diberikan sedikit kenaikan setiap tiga tahun, namun ia tidak pernah berlaku,” menurut kenyataan itu.

Warga kerja Pos Malaysia diwakili Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Berhad Semenanjung Malaysia (UPUS), Kesatuan Pekerja Perkeranian Pos Malaysia Semenanjung (UPCW), Kesatuan Penolong Eksekutif Pos Malaysia (PMJEU), Kesatuan Pekerja Perkeranian Pos Malaysia Sabah (KKPPS).

Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Sabah (KEPPSES), Kesatuan Pekerja Perkeranian Pos Malaysia Sarawak (POCSUS) dan Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Sarawak (UPUS Sarawak).

– BERNAMA