Penjawat Awam Perlu Berpegang Pada Keneutralan, Profesionalisme Dalam Menjunjung Perlembagaan Persekutuan

Penjawat Awam Perlu Berpegang Pada Keneutralan, Profesionalisme Dalam Menjunjung Perlembagaan Persekutuan

0
SHARE

PUTRAJAYA – Penjawat awam perlu berpegang kepada konsep keneutralan (neutrality) dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa agar kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata harapan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan yang cekap, bersih dan amanah perlu dipenuhi bagi memastikan kepercayaan yang diberi dapat dibalas dengan mutu perkhidmatan yang terbaik.

“Perkhidmatan Awam merupakan jentera yang menggerakkan proses merangka, mengolah dan merealisasikan dasar-dasar negara seterusnya menjadi tunjang utama kepada kejayaan negara demi kesejahteraan rakyat.

Dalam mempersiapkan negara untuk menjadi negara maju, kecekapan penyampaian Perkhidmatan Awam perlu terus diperkukuh agar ianya menyokong pertumbuhan ekonomi seterusnya meningkatkan produktiviti untuk kemakmuran bersama,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya.

Beliau berkata penjawat awam juga perlu berpegang kepada lima prinsip utama, iaitu kebersamaan, interaksi, dinamik, khidmat bakti dan pembudayaan integriti, bagi memacu kecemerlangan perkhidmatan.

“Kepercayaan untuk berkhidmat harus menjadi satu pegangan kepada Perkhidmatan Awam supaya amanah yang digalas dan cabaran yang ditempuhi dapat direalisasikan dengan ikhlas, berfikiran terbuka serta positif bertunjangkan kepada perkhidmatan kelas pertama dan pintar,” katanya.

Selain itu, Mohd Zuki turut menyeru penjawat awam agar bergerak seiring dengan kemajuan teknologi selari dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.

“Penggunaan teknologi akan menjadikan rakyat berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan secara lancar walau di mana mereka berada,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan penjawat awam agar sentiasa memelihara keharmonian dan bekerja sebagai satu pasukan yang saling berinteraksi antara satu sama lain.

“Rancanglah kerja sebaiknya agar setiap proses kerja dapat dipermudah dan dipercepat. Saya menyeru supaya semua penjawat awam menjadi pemudah cara dalam urusan rakyat. Berikanlah perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

– BERNAMA