Penunjuk Perasaan Berarak Ke Ibu Negara Bagi Menuntut PM Pakistan Letak Jawatan

Penunjuk Perasaan Berarak Ke Ibu Negara Bagi Menuntut PM Pakistan Letak Jawatan

0
SHARE
Penyokong parti politik Islam Jamiat Ulema-e-Islam (JUI-F) mengibar bendera semasa perarakan anti-kerajaan di Islamabad...(Sumber Foto; AFP)

ISLAMABAD – Penunjuk perasaan di seluruh Pakistan menuju ke ibu negara bagi menuntut Perdana Menteri Imran Khan meletak jawatan.

Perarakan yang dianggarkan puluhan ribu orang disertai oleh penyokong Islam  bersama anggota parti pembangkang utama tidak dapat dihalang oleh pasukan keselamatan walaupun telah menyekat pintu masuk utama menuju bandar raya dengan kontena kapal.

AFP melaporkan bahawa perarakan tersebut diberi nama ‘Perarakan Azadi (kebebasan)’, ia ketuai Maulana Fazlur Rehman iaitu ketua Jamiat Ulema-e-Islam Fazl (JUI-F), parti politik agama paling berkuasa di Pakistan.

“Masa sudah tiba kita menyingkirkan kerajaan tidak sah. Selepas setahun memerintah, 220 juta rakyat Pakistan sedang menjerit, tetapi kali ini sudah tiba masanya Imran Khan pula menjerit,” kata Shehbaz Sharif, ketua Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) kepada penunjuk perasaan.

Bantahan itu adalah cabaran pertama terhadap pentadbiran Imran ketika orang awam berang dengan kegawatan ekonomi dan inflasi di negara itu.

“Kami melakukan bantahan untuk menyuruh pemerintah yang lemah supaya berundur…rakyat kita terpaksa menganggur dan kilang menutup operasi mereka,” kata penunjuk perasaan, Abu Saeed Khan dari Peshawar.

Sementara itu Imran mengecam Rehman menerusi ucapannya di televisyen di bandar Gilgit, dengan bersumpah untuk mendakwa ulama itu atas tuduhan rasuah.

“Kepada mereka yang membuat wang atas nama Islam akan didedahkan. Saya berjanji dengan Allah, saya akan membawa semua mereka ke penjara kerana mengkhianati negara,” katanya.