Penutup Hidung, Mulut Perlu Dipakai Jika Demam, Selsema Dan Batuk

Penutup Hidung, Mulut Perlu Dipakai Jika Demam, Selsema Dan Batuk

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

IPOH, PERAK – Penutup hidung dan mulut perlu dipakai oleh mereka yang mempunyai gejala seperti demam, selesema dan batuk bagi mengelak jangkitan penyakit yang dihidapi kepada orang lain, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau menegaskan pemakaian penutup hidung dan mulut itu mesti dilakukan dengan cara yang betul, khususnya apabila berada di tempat awam.

“Untuk elakkan jangkitan, paling penting adalah basuh tangan selalu, gunakan sabun, pencuci sesuai.

“Kalau pakai penutup hidung dan mulut dengan cara tak betul seperti sentuh muka juga berisiko alami jangkitan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri  jamuan Tahun Baharu Cina Dewan Perhimpunan Cina Perak di sini, hari ini.

Dr Lee, yang juga Ahli Parlimen Gopeng, berkata demikian sebagai mengulas mengenai pandangan beberapa pakar bahawa pemakaian penutup hidung dan mulut perlu untuk mencegah jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Timbalan Menteri Kesihatan itu berkata sekiranya pemakaian penutup hidung dan mulut diwajibkan, ia akan mencetuskan satu suasana panik dengan terdapat kemungkinan permintaan untuk menutup tempat-tempat awam.

“Adakah kita perlu hentikan semua perhimpunan, tutup sekolah, tutup panggung wayang? Ini akan menyebabkan keadaan panik,” katanya.

Setakat ini, jumlah kumulatif kes positif  2019-nCoV yang dilaporkan di Malaysia kekal lapan dengan jumlah kumulatif kes pesakit dalam siasatan (PUI) adalah 183 orang dan 18 orang masih menunggu keputusan makmal.

– BERNAMA