Penyanyi Era 80-an Nassier Wahab Meninggal Dunia

Penyanyi Era 80-an Nassier Wahab Meninggal Dunia

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Nassier Wahab, 57, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 12.45 pagi ini, Khamis di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Berita pemergian penyanyi era 80-an itu dikongsi melalui rakan karibnya iaitu penyanyi, Zur Eda menerusi kiriman WhatsApp kepada rakan artis yang lain.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Dukacita dimaklumkan Nassier Wahab baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 12.45 pagi.

“Mohon sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah dan kita doakan semoga roh arwah akan ditempatkan bersama roh solehin. Al-Fatihah,” tulisnya.

Sementara itu, pembantu peribadinya, Ariff Salim memberitahu, Allahyarham pergi dalam keadaan mengejut selepas muntah darah tengah malam tadi.

“Seperti semua sedia maklum, arwah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, Julai lalu. Selepas itu, arwah melakukan rawatan lanjutan seperti radioterapi dan kimoterapi.

“Doktor meminta arwah menjalani rawatan menambah darah semalam (kelmarin) kerana beliau tampak terlalu pucat. Jika diikutkan, tiada apa-apa rawatan pada hari ini (semalam). Ketika sedang berehat tadi (malam tadi), arwah meminta saya mengurut tangan dan belakang badan, tetapi tiba-tiba, dia muntah darah yang banyak.

“Saya dan isteri arwah yang berada di sisinya terus meminta bantuan doktor. Tiba-tiba sahaja semuanya berlaku. Pada jam 12.45 tengah malam, doktor mengesahkan abang Nassier sudah tiada,” katanya.

Pada 1 Jun lalu, Nassier, 57, pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kirinya, setelah mengalami kesakitan sejak lima tahun lalu di bahagian gusi.

Selepas pembedahan tersebut, penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Sekali Aku Jatuh Cinta’ dan ‘Memori Cinta Luka’ itu berehat buat satu tempoh sementara tahap kesihatannya kembali  pulih.

Terdahulu, pada April 2018, Nassier pernah dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan membuang kelenjar dan ketumbuhan pada leher.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Fatimah Abd Rauf, 56, dan seorang anak, Intan Najihah.

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediamannya di Bandar Bukit Raja, Selangor, pagi ini untuk urusan pengebumian.