Penyeludup Migrain Terima Upah RM3,000 Bagi ‘Satu Kepala’ PATI

Penyeludup Migrain Terima Upah RM3,000 Bagi ‘Satu Kepala’ PATI

0
SHARE

PASIR MAS, KELANTAN – Upah lumayan sehingga RM3,000 bagi ‘satu kepala’ pendatang asing tanpa izin (PATI) menyebabkan penyeludup migran sanggup mengambil risiko berhadapan dengan tindakan pihak berkuasa.

Dengan menggunakan beratus laluan tikus yang ada di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand, penyeludup akan sentiasa mengambil kesempatan melakukan kegiatan itu dengan bantuan tonto yang diupah.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Supt Azhari Nusi berkata, penyeludup migran ini biasanya akan menggunakan kawasan sempadan yang sukar laluannya bagi membawa masuk PATI bagi mengelak dikesan.

Beliau berkata biasanya PATI akan dibawa menyeberang Sungai Golok menggunakan bot menerusi laluan tikus dan terus dimuatkan ke dalam kenderaan yang sudah siap menunggu.

“Mana-mana PATI yang masuk ke sini akan ‘disumbat’ ke dalam kenderaan. Jika jumlahnya sedikit mereka biasanya hanya menggunakan kereta dan sekiranya ramai mereka akan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Kes terbaharu yang berjaya ditahan petang Selasa lepas adalah sebuah MPV jenis Naza Ria yang memuatkan seramai 23 PATI warga Myanmar dekat pangkalan haram Kertas, Rantau Panjang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhari berkata soal siasat yang dijalankan mendapati PATI berkenaan membayar RM3,000 setiap seorang kepada tekong darat untuk dihantar ke Ipoh, Perak.

Jelasnya, melihat kepada jumlah PATI yang disumbat begitu padat dan terpaksa berhimpit di dalam kenderaan itu jelas menunjukkan penyeludup begitu tamak dan mementingkan keuntungan semata-mata.

Katanya penyeludup migran ini juga turut menggunakan kenderaan ‘sakit’ yang diubah suai untuk membawa ramai PATI dan sekiranya terlibat dalam kemalangan atau terserempak dengan pihak berkuasa, kenderaan itu akan ditinggalkan begitu sahaja.

“Berdasarkan pemantauan dan risikan yang dijalankan juga, banyak pangkalan haram dan laluan tikus di tebing Sungai Golok agak terlindung daripada pemandangan.

“Kita juga tidak menafikan ada penduduk tempatan seolah-olah bersubahat dengan sindiket penyeludupan migran ini termasuk membenarkan kawasan tanah milik mereka dijadikan laluan membawa PATI,” katanya.

Menurut Azhari, pihaknya tahu sindiket penyeludupan ini sentiasa menukar taktik dalam menjalankan kegiatan mereka namun pasukannya akan memperhebatkan lagi operasi bagi membanteras kegiatan itu.

“Banyak kawasan sempadan di sini seperti Panglima Bayu, Lubok Setol dan Jeram Perdah yang dipenuhi semak samun dan hutan sehingga memudahkan penyeludupan berlaku apatah lagi dengan bantuan daripada tonto.

“Sejak mengambil alih tugas Op Wawasan pada 15 Sept lalu, PGA7 sebenarnya sudah berjaya menahan 33 orang PATI termasuk empat wanita. Kesemua mereka ini adalah warga Myanmar yang akan dihantar ke lokasi tertentu di negara ini untuk bekerja sama ada dalam sektor pertanian atau pembinaan,” katanya.

Jelasnya, bagi mengatasi kegiatan itu beberapa cawangan PGA7 di Kuala Jambu, Rantau Panjang dan Jeram Perdah akan mempertingkatkan operasi serta memperketatkan kawalan di pangkalan haram sepanjang sempadan Kelantan-Thailand.

– BERNAMA