Penyokong Kerajaan Cadang Buat Audit Ke Atas Pendapatan Penyewa PPR

Penyokong Kerajaan Cadang Buat Audit Ke Atas Pendapatan Penyewa PPR

0
SHARE
Nik Nazmi Nik Ahmad...

KUALA LUMPUR – Seorang penyokong kerajaan mencadangkan agar pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat audit ke atas pendapatan penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ini kerana terdapat segelintir penyewa yang berpendapatan tinggi dan melebihi had kelayakan untuk menyewa PPR.

“Keperluan (audit) itu adalah bagi memastikan sama ada pendapatan penyewa telah meningkat atau mereka mendapatkan unit rumah dengan cara yang tidak betul,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya hanya mereka yang benar-benar memperoleh pendapatan bawah tahap minimum (kelayakan) boleh terus dibenarkan  menyewa di PPR pada kadar sewa RM124 sebulan.

Beliau juga mencadangkan supaya penyewa yang berpendapatan tinggi boleh terus menyewa di PPR dengan syarat membayar kadar sewa lebih tinggi iaitu RM250 sebulan seperti yang pernah dilakukan di PPR Lembah Subang, Selangor.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar pembangunan sektor perumahan negara selari dengan keperluan rakyat berpendapatan sederhana dan bawahan yang berasal daripada golongan B40 dan M40, dan bukannya mengikut kehendak pemaju yang lebih suka membina hartanah mewah dan komersil.

“Harus ada opsyen rumah mampu milik yang tidak memerlukan kemudahan kondominium seperti kolam renang dan gimnasium yang hanya digunakan sekelompok kecil sahaja kerana ia melibatkan kos pembinaan dan penyelenggaraan besar yang perlu ditanggung semua,” katanya.

– BERNAMA