Peranan JAKIM Dan BMF Antara Isu Utama Dewan Rakyat Hari Ini

Peranan JAKIM Dan BMF Antara Isu Utama Dewan Rakyat Hari Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menjaga kepentingan umat Islam dalam pensijilan halal produk makanan adalah antara tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dalam aturan mesyuarat dikeluarkan laman web Parlimen, ia dibangkitkan pada soalan kedua sewaktu sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan oleh Awang Hashim (PAS-Pendang) yang mahukan Perdana Menteri menyatakan perancangan untuk meningkatkan peranan jabatan berkenaan.

Selain itu, kerajaan juga diminta menjelaskan sama ada bersedia untuk membantu mempromosi kempen Buy Muslim First (BMF) yang disalah tafsir sebagai gerakan memboikot produk kaum lain.

Turut dijangka menghangatkan persidangan adalah penjelasan berhubung tindakan diambil kerajaan bagi mengawal dan membanteras aktiviti penyeludupan barangan (transshipment) seperti beras dan gula.

Ia dibangkitkan oleh Chan Fong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang mahukan Menteri Pengangkutan menyatakan tentang butiran pengecualian 54 barang daripada perlunya ‘Approved Permit’ (Permit Import).

Perkara lain dijangka mencuri tumpuan ialah soalan dibangkitkan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) tentang rasional Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melarang penggunaan logo KBS serta Logo Bulan Sukan Negara 2019 melainkan dimohon terlebih dahulu melalui Unit Komunikasi Korporat kementerian itu.

Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Dis.

– BERNAMA