Perang Najib-Guan Eng Semakin Rancak, Guan Eng Gesa Najib Mohon Maaf

Perang Najib-Guan Eng Semakin Rancak, Guan Eng Gesa Najib Mohon Maaf

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Perang antara Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semakin rancak berlaku terutamanya di laman media sosial Facebook dan juga media tempatan. Hal ini dapat dilihat apabila Guan Eng menggesa bekas Perdana Menteri tersebut untuk meminta maaf atas kesilapannya berhubung perkembangan terkini isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut kenyataan Guan Eng hari ini, beliau berkata bahawa Goldman Sachs telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan menyatakan Goldman Sachs telah ditipu oleh pemimpin tertinggi kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Sungguhpun Goldman Sachs telah minta maaf, Datuk Seri Najib masih berdegil dan berkeras yang beliau tidak bersalah dan enggan memohon maaf. Sebaliknya beliau menyalahkan sistem sungguhpun beliau mewakili sistem semasa menjadi Perdana Menteri pada masa itu,” katanya.

Pada Rabu baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Group Inc, David Solomon memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas peranan bekas pegawai bank di firma itu dalam skandal 1MDB.

Goldman membantu menguruskan bon US$6.5 bilion bagi 1MDB dan Malaysia telah memfailkan pertuduhan jenayah terhadap bank tersebut serta dua bekas kakitangannya atas tuduhan mencuri.

Pada masa yang sama, perang mulut antara Lim Guan Eng dengan Datuk Seri Najib Tun Razak berterusan lagi berhubung isu perbezaan Universiti Islam Malaysia (UIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Guan Eng pada 16 Januari lalu mendakwa sesetengah pihak sengaja memainkan sentimen perkauman menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dengan membesar-besarkan tindakan Kementerian Kewangan memberi peruntukan kepada kolej swasta, Kolej Universiti New Era.

Pada hari yang sama, Najib kemudian memuat naik status Facebook mengkritik Menteri Kewangan itu yang “membandingkan peruntukan untuk tiga kolej universiti swasta” dengan “peruntukan RM15 juta kepada UIAM”.

“Adakah Guan Eng tidak faham perbezaan antara kolej swasta dengan universiti awam milik kerajaan?,” tanya Najib dalam status tersebut.

Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata UIM merupakan kolej swasta tidak berasaskan keuntungan yang beroperasi di Cyberjaya, berbeza dengan UIAM yang merupakan universiti awam milik kerajaan.

“Beliau nampaknya keliru dan tidak tahu bahawa UIM adalah berbeza dan berlainan daripada UIAM…

“Amatlah dikesali bahawa beliau tidak tahu perbezaan di antara UIM dan UIAM sungguhpun telah memegang jawatan kerajaan sekian lama dan berkhidmat di Putrajaya selama lebih 20 tahun,” kata Guan Eng.

Guan Eng berkata UIM ditubuhkan pada 2012, apabila Kolej Islam Malaya dinaik taraf dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

“Mustahil seorang bekas Perdana Menteri tidak tahu tentang kewujudan institusi yang begitu bersejarah, atau pura-pura tidak tahu semata-mata untuk berpolitik?”, soal Guan Eng.

Mutakhir ini, jelas dilihat perang mulut antara Najib dan Guan Eng tidak asing lagi kepada media sosial khususnya Facebook dan kenyataan media tempatan di mana kedua-dua individu ini saling membidas satu sama lain berkenaan pelbagai isu nasional termasuklah GST, SST, 1MDB, harga minyak dan lain-lain lagi.