Perantau Seorang Ibu Mengandung Bawa Kes Baharu COVID-19 Ke Kelantan

Perantau Seorang Ibu Mengandung Bawa Kes Baharu COVID-19 Ke Kelantan

0
SHARE

KOTA BHARU, KELANTAN – Negeri Kelantan yang berada di Zon Hijau dengan mencapai 32 hari sifar (0) daripada kes positif baharu COVID-19 telah mencatatkan satu (1) kes baharu di Kuala Krai, semalam.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Hussin memaklumkan kes positif baharu COVID-19 tersebut dihidapi oleh seorang wanita yang juga merupakan ibu mengandung dari Kuala Lumpur.

Bagaimanapun beliau menegaskan wanita tersebut kini telah dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan mengatakan bahawa sepatutnya sebarang pengesahan dibuat menerusi Jabatan Kesihatan Kelantan.

“Daripada maklumat yang saya terima apa yang kita takutkan selama ini ialah dari segi rentas sempadan. Mangsa balik ke Kelantan semasa rentas negeri dibenarkan sebelum ini…

Dr Izani Hussin…

“Setakat yang kita tahu hanya dia yang positif. Ahli keluarga negatif dan diarahkan dikuarantin,” katanya kepada media.

Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di JKR 10 hari ini.

Sejak semalam tular di media sosial berkaitan seorang ibu mengandung dari Kuala Lumpur yang pulang bercuti di Kuala Krai dikatakan positif COVID-19 dan menimbulkan kebimbangan penduduk terutamanya yang pernah singgah di sebuah pasar basah di jajahan tersebut.

Mengulas perkara itu, Dr Izani berkata, pihak hospital juga telah mengesan kontak pesakit berkenaan untuk membuat ujian saringan dan juga tindakan kuarantin.

Dr Izani juga memberitahu, Majlis Keselamatan Negara Negeri Kelantan menerusi jawatankuasa terlibat mengadakan perbincangan bersabit perkara tersebut.

“Kemungkinan rentas daerah melibatkan keluar masuk di Kuala Krai akan diperketatkan. Semua ini belum diputuskan dan akan dibincangkan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Perkara yang berlaku kita tidak boleh undur, jadi bagi mereka masih berada di luar negeri lebih baik jangan tinggalkan kawasan dan kekal berada di sana,” katanya.

menurut sumber, 11 kontak rapat dengan pesakit sudah menjalani ujian saringan.