Perkhidmatan Kereta Percuma Ke Hospital Di Sandakan

Perkhidmatan Kereta Percuma Ke Hospital Di Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Mohamad Kadir Abdul Jalil, 23, dan lebih mesra dengn panggilan ‘Wan’ membantu golongan kurang berkemampuan dengan membuat perkhidmatan kereta percuma ke Hospital Duchess of Sandakan untuk orang ramai di dalam dan luar Sandakan.

Dia mendapat inspirasi dari abang angkatnya yang di kenali sebagai ‘Abang Botak’, atau Yunizam Yusop yang suka membuat kebajikan dengan membantu gelandangan dan asnaf sekitar pekan sini .

Abang angkatnya itu juga membuat perkhidmatan van jenazah percuma dan dia kemudian melihat ada keperluan untuk menawarkan kereta percuma ke hospital.

Mohamad Kadir bersyukur mendapat sokongan kawan-kawannya yang membantu dalam memberi modal untuknya membeli kereta terpakai untuk digunakannya berbakti kepada masyarakat.

Katanya kereta jenis Perodua Kenari itu diperbaiki dan ditampal pelekat nombor telefon bagi menghebahkan perkhidmatan kereta percuma ke hospital bermula Januari lepas.

Beliau berkata menerusi perkhidmatannya itu, mereka yang memerlukan bantuannya itu akan menghantar pesanan ke nombor telefon bimbitnya (0109417284) yang tertera pada badan keretanya itu berkaitan tarikh dan masa temujanji yang mereka perlu berada di hospital.

“Ada kalangan mereka yang menggunakan perkhidmatan saya ini adalah pesakit perlu memdapat rawatan susulan dan perkhidmatan Hemodialisis,” katanya.

Menurutnya dia mendapat tempahan temujanji melalui pesanan aplikasi Whatsapp dan sentiasa memantau pesanan mereka yang ingin menggunakan perkhidmatannya itu.

Mohamad Kadir berkata biasanya dalam sehari, dia mengambil dan menghantar tiga hingga empat pesakit bermula 7 pagi hingga jam 3 petang.

Dia tidak mengenakan bayaran kepada mereka yang menggunakan perkhidmatannya itu.

Namun, beliau mengalu-alukan sumbangan orang ramai yang ingin menaja kos minyak dan kerosakan kereta yang digunakannya itu.

– BERNAMA