Perlaksanaan SST, Penggunan Meragui Ketelusan Peniaga

Perlaksanaan SST, Penggunan Meragui Ketelusan Peniaga

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR –  Ketelusan peniaga dalam menjalankan transaksi dengan pengguna yang diragui ketika pelaksanaan apa jua sistem cukai di negara ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan sewajarnya memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara menyeluruh.

Katanya, tindakan tegas perlu dikenakan kepada mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan.

“Saya tak risaukan ketelusan pelaksanaan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) oleh kerajaan tapi lebih risaukan mereka yang kutip SST secara langsung daripada pengguna iaitu peniaga.

“Ketika pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) banyak berlaku tapi tak dikenakan tindakan jadi mereka tak takut.

“Sebab itu penguatkuasaan perlu betul-betul dan kenakan tindakan lebih tegas supaya mereka tidak terus menipu,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu katanya, pengguna juga perlu memainkan peranan ketika menjalankan apa jua transaksi.

“Pengguna perlu faham mana produk yang kena SST sebab kadang-kadang ada juga kedai yang kenakan SST pada barang yang tak dikenakan cukai pun.

“Jadilah pengguna yang prihatin, bijak, periksa transaksi, simpan resit dan sebagainya,” katanya.