Perlantikan Semula Juhar Mahiruddin Sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah Petanda Masa Depan...

Perlantikan Semula Juhar Mahiruddin Sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah Petanda Masa Depan Parti-Parti Politik Di Sabah Bakal Malap?

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Persoalan yang timbul ketika ini, apa akan berlaku kepada masa depan Parti- Parti Politik yang lain di Sabah sekiranya Parti Warisan Sabah dan sekutunya kalah pada Pilihan Raya Utama (PRU) ke-15 yang akan datang, kemudian Juhar tidak mahu bekerjasama melantik Ketua Menteri yang baharu selain wakil daripada Parti Warisan Sabah.

Baharuddin Syihab seorang penganalisis politik bebas ketika diajukan soalan ini berkata “setiap pemimpin parti politik di Sabah patut mempunyai asas untuk merasa khuatir, kerana sebelum ini Juhar dikatakan secara sengaja telah melengahkan majlis perlantikan dan mengangkat sumpah Tan Sri Musa Aman, meskipun 31 orang wakil rakyat telah menandatangani surat persetujuan melantik Musa menjadi Ketua Menteri yang sah.

“Juhar juga telah bersemuka dengan kesemua wakil rakyat bagi mendengar sendiri jawapan lisan wakil-wakil rakyat tersebut malangnya Juhar tetap melakukan tindakan yang dilihat mempunyai unsur ‘sabotaj’ kepada perlantikan Tan Sri Musa Aman tersebut.

“Oleh sebab itu pandangan bahawa Yang Di-Pertua Negeri Sabah mestilah bebas sepenuhnya daripada menyokong mana-mana parti politik adalah salah satu kriteria utama yang perlu ada kepada Tuan Yang Di-Pertua,” tegas Baharuddin.

“Jika prinsip ‘bias’ ataupun memihak kepada parti politik tertentu wujud pada diri Yang Di Pertua Negeri Sabah, cuba bayangkan apa akan berlaku sekiranya pada PRU ke-15 akan datang apabila parti politik selain Warisan bakal menang dan Juhar mengulangi perbuatan yang sama dilakukan kepada Tan Sri Musa kepada bakal Ketua Menteri baharu tersebut.

“Apa akan berlaku kepada masa depan negeri Sabah pada waktu itu…?

“Harus diingat Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri sebelum ini pun bukan kerana menang kerusi majoriti di Sabah sebaliknya ianya disebabkan wujudnya unsur khianat daripada wakil rakyat Barisan Nasional yang melompat parti sehingga Shafie dilantik menjadi Ketua Menteri,” tambah Baharuddin.

Baharuddin turut berkata lagi bahawa setiap parti politik di Sabah sewajarnya mempunyai asas untuk merasa khuatir, takut dan ada diantara pemimpin politik dalam Gabungan Bersatu Sabah (GBS) sebagai contoh menyifatkan parti-parti politik yang akan bertanding pada PRU ke-15 akan datang dalam keadaan gelisah serta kurang yakin Juhar akan bekerjasama melantik Ketua Menteri baharu sekiranya parti GBS menang pada PRU ke-15 yang akan datang.

Untuk rekod sebelum ini, beberapa individu dan NGO telah tampil membuat laporan Polis dan SPRM terhadap Juhar termasuk Shafie Apdal, kerana perbuatan melantik semula Juhar dilihat mempunyai unsur amalan ‘kronisme’ dan rasuah berbentuk imbuhan jawatan yang tidak sepatutnya diamalkan oleh seorang Yang Di-Pertua Negeri khususnya di Sabah.

Tidak dapat dipastikan sama ada Juhar telah dipanggil oleh pihak Polis dan SPRM bagi dirakam percakapan selepas laporan tersebut dibuat…

Dalam pada itu, Abdullah Ahmad seorang aktivis masyarakat ketika mengulas isu ini pula berkata “Juhar tidak mempunyai apa-apa jasa kepada negeri Sabah sehinggakan Shafie terpaksa menyambung khidmat beliau. Saya minta disenaraikan apa jasa Juhar semasa beliau pernah menjadi bekas wakil rakyat, speaker bahkan semasa menjadi Tuan Yang Terutama (TYT) sebelum ini”.

“Kenapa undang- undang negeri Sabah terpaksa digubal semula hanya kerana ingin melihat Juhar menyambung semula khidmat sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah?, bukankah ini satu tawaran yang dilihat seakan-akan berunsur rasuah yang diamalkan oleh Juhar selepas membantu Shafie menjadi Ketua Menteri sehinggakan Sabah dilanda krisis politik sebelum ini” soal Abdullah dengan tegas.

Untuk rekod, Juhar Mahiruddin sepatutnya menamatkan tempoh jawatan Yang Di Pertua Negeri Sabah pada awal Januari 2019, tetapi di sambung semula selepas undang-undang negeri Sabah digubal bagi membolehkan Juhar menyambung semula tugas sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah sebelum ini menghadkan jawatan Yang Di-Pertua Negeri Sabah kepada 2 penggal bersamaan dengan 6 tahun.