JOHOR BAHRU – Perletakan jawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian serta merta berkuat kuasa semalam menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi dari pelbagai pihak khususnya dikalangan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor.
Pengarah Media Bersatu Johor, Solihan Badri dalam satu kenyataannya hari ini berkata bahawa sebarang perubahan dari pucuk pimpinan adalah berasaskan penilaian yang kukuh demi kepentingan rakyat.
Solihan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Tenang) itu meminta agar semua ahli parti untuk bersabar tanpa mewujudkan pelbagai spekulasi negatif kerana beliau yakin yang Bersatu akan meneruskan kepimpinan Johor.
“Saya telah menghubungi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan beliau menasihatkan agar ahli Bersatu bersabar dan menunjukkan kematangan politik,” kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.
Solihan juga tidak bersetuju jika ada ahli yang berhasrat atau cuba menganjur sebarang bentuk perkumpulan membantah keputusan itu.
“Yang penting kini, kurangkan spekulasi manakala anggota parti di peringkat cawangan dan bahagian pula, teruskan aktiviti terutama dalam menghadapi mesyuarat cawangan dan bahagian yang akan datang.
“Kita juga perlu meyakinkan anggota mengenai keutuhan PBBM serta tanggungjawab kita perlu diteruskan,” kata Solihan.
Terdahulu, berita peletakan jawatan itu diumumkan dan disahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata Osman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Kempas) itu, telah menyerahkan dua surat peletakan jawatan itu kepadanya dalam satu pertemuan di Putrajaya semalam, dengan satu daripadanya kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.