Perpaduan Dan Kesatuan Mesti Letakkan Islam Sebagai Keutamaan – MB Kelantan

Perpaduan Dan Kesatuan Mesti Letakkan Islam Sebagai Keutamaan – MB Kelantan

0
SHARE
Datuk Ahmad Yakob...

KOTA BHARU, KELANTAN – Apa sahaja perpaduan dan kesatuan mestilah meletakkan agenda Islam sebagai keutamaan yang dipaksikan dengan keimanan, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata pertalian keimanan inilah yang memperkukuh hubungan sesama individu dalam masyarakat, dan yang menjadikan masyarakat satu unit sosial yang tersusun rapi dan utuh.

“Mengambil ibrah (pengajaran) daripada ibadat haji yang melatih umat Islam bersatu dan meninggikan syiar Islam dan berganding bahu menegakkan agama Allah.

“Di padang Arafah, misalnya, semangat perpaduan dan persaudaraan umat Islam amat erat. Tidak kira pangkat apa pun mereka, baik raja, rakyat biasa, miskin atau kaya semuanya berpakaian seragam berwarna putih bersama-sama mengabdikan diri kepada Allah SWT yang Maha Esa dan Agung,” katanya dalam Perutusan Aidiladha 1140 Hijrah di sini, hari ini.

Beliau berkata paling penting ibadat haji mampu mendidik dan membersihkan umat Islam daripada sifat-sifat mazmumah (keji) dan digantikan dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji) seterusnya memperoleh haji yang mabrur.

Sempena dengan hari raya haji, yang akan disambut esok, beliau mengajak semua umat Islam untuk sama-sama mendoakan semoga para Jemaah haji dari seluruh dunia yang sedang mengerjakan ibadat haji di Kota Mekah diberikan kesihatan dan keselamatan dan dianugerahkan dengan haji mabrur yang tiada balasan kecuali syurga.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam. Maaf zahir batin daripada saya dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri, semoga Allah menerima segala amalan kita dan mengampuni seluruh dosa kita sempena hari Arafah 09 Zulhijjah,” katanya.

– BERNAMA