Persatuan Wartawan Sabah Persoalkan Tindakan Mahkamah Hadkan Petugas Media Buat Liputan

Persatuan Wartawan Sabah Persoalkan Tindakan Mahkamah Hadkan Petugas Media Buat Liputan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Tindakan Mahkamah Kota Kinabalu yang mengehadkan bilangan petugas media untuk membuat liputan media di dalam kamar mahkamah untuk kes profil tinggi berhubung kesahan Ketua Menteri Sabah yang berlangsung hari ini dipersoalkan oleh Persatuan Wartawan Sabah (SJA).

Kes tersebut menunjukkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Kamardin Hashim telah menolak rayuan saman bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, dengan kos, yang mencabar pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Datuk Muguntan Vanar berkata, institusi itu hanya menyenaraikan lapan organisasi media secara rawak.

Katanya, sebahagian besar petugas media lain terpaksa menunggu di luar kamar Mahkamah Rayuan.

“Kita tidak dibawa berbincang mengenai perkara ini sebelum keputusan dibuat. Sebahagian besar organisasi media terpaksa menunggu di luar bilik mahkamah.

“Sebagai petugas media, kami bertanggungjawab menyebarkan berita kepada orang awam dan harus diberi keutamaan untuk masuk ke kamar mahkamah,” katanya.

Mugutan turut berkata, pihaknya berharap perkara ini akan diambil perhatian bagi mengelakkan insiden seperti ini berlaku di masa akan datang.

Sementara itu, sesi pendengaran rayuan yang bermula kira-kira jam 9 pagi itu dijalankan di hadapan tiga hakim terdiri daripada Datuk Kamardin Hashim, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohammad Zabidin Mohd Diah.

Pada 7 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak saman yang difailkan oleh Musa terhadap Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie Apdal.

Musa yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri memohon keputusan pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri sebagai tidak mengikut perlembagaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memutuskan Musa sudah kehilangan hak majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).