Pertahankan Dr Zakir Naik, PAS Puji Kerajaan PH

Pertahankan Dr Zakir Naik, PAS Puji Kerajaan PH

0
SHARE
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man...

KUALA LUMPUR – PAS memuji tindakan kerajaan yang membenarkan pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik terus berada di negara ini.

Memetik laporan Sinar Harian, timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, memang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membela dan mempertahankan maruah Zakir selaras dengan kedudukannya sebagai pemastautin tetap.

Katanya, kenyataan tegas Perdana Menteri mempertahankan Zakir, adalah satu langkah tepat selaras dengan dasar Islam melindungi umatnya daripada menjadi mangsa penganiayaan dan kezaliman di mana sahaja.

“PAS merakamkan ucapan tahniah di atas tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membenarkan Zakir Naik untuk terus berada di Malaysia sebagai warga pemastautin tetap dari dihantar kembali ke India bagi menghadapi pelbagai tuduhan rekaan kerajaan India.

“PAS tegas dengan prinsip menyokong dan mendokong segala tindakan makruf yang diambil oleh pihak kerajaan, dan menentang kemungkaran dan perpecahan. Ini adalah selaras dengan dasar budaya politik matang dan sejahtera dan konsep At-taawun yang diamalkan oleh parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menghantar Zakir pulang ke negara asalnya di India selagi beliau tidak mencetuskan sebarang masalah kepada Malaysia.

Menurut Mahathir, Zakir boleh tinggal di Malaysia dengan status pemastautin tetap (PR) yang diberikan kepadanya.