Pertemuan Syed Saddiq, Lim Teong Kim Dijangka Dalam Tempoh Terdekat Ini

Pertemuan Syed Saddiq, Lim Teong Kim Dijangka Dalam Tempoh Terdekat Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan bertemu Pengarah Akademi Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim bagi membincangkan isu berkaitan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) dalam tempoh terdekat.

Syed Saddiq, bagaimanapun berkata, tiada sebarang keputusan akan dibuat menerusi perjumpaan itu sehingga mesyuarat Jawatankuasa Khas pada 15 Oktober ini.

“Kami (kementerian) telah mendapat maklum balas daripada beliau (Teong Kim) yang bersetuju untuk berbincang…

“Apa yang saya boleh katakan, pertemuan itu diadakan dalam masa terdekat. Kalau boleh, saya tidak mahu terus membuat keputusan. Ia akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas nanti,” katanya kepada pemberita sebelum bermulanya Sesi ‘Motorsports TownHall’ di sini hari ini.

Isu PPBN semakin hangat diperkatakan apabila Teong Kim gagal mencapai sasaran membawa pasukan bola sepak B-16 kebangsaan mara ke Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) 2019.

Skuad negara terkandas pada peringkat kumpulan selepas tewas 0-2 kepada Jepun pada Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018, minggu lepas.

– BERNAMA