Petinju AS, Patrick Day Meninggal Dunia Akibat Tumbukan KO

Petinju AS, Patrick Day Meninggal Dunia Akibat Tumbukan KO

0
SHARE
Patrick Day (seluar merah biru)...Sumber Foto; AFP...

LOS ANGELES – Petinju Amerika Syarikat, Patrick Day meninggal dunia selepas mengalami kecederaan otak yang serius selepas kekalahan KO kepada Charles Conwell minggu lalu.

Hal ini disahkan oleh Lou DiBella seorang promoter tinju dalam satu kenyataannya. Menurutnya lagi yang dipetik AFP, Patrick, 27, yang juga petinju kategori super welterweight (63.5 kg) segera menjalani pembedahan kecemasan selepas Conwell melakukan tumbukan KO pada perlawanan di Arena Wintrust, Chicago pada Sabtu lalu.

“Bagi pihak keluarga, pasukan dan juga mereka yang rapat dengan Patrick, kami berterima kasih terhadap semua doa, sokongan dan kasih sayang yang diberikan buat Pat sejak dia mengalami kecederaan,” kata DiBella.

Patrick yang mengalami koma selepas pembedahan dijalankan di Hospital Northwestern Memorial, menghembuskan nafas terakhir disamping keluarga dan rakannya.

Petinju Amerika Syarikat itu diusung keluar daripada gelanggang selepas tidak sedar diri susulan knockout pada pusingan ke-10 pada Sabtu lalu.

Sumber Foto; AFP…

Patrick merupakan petinju ketiga yang meninggal dunia daripada gelanggang tinju pada tahun ini.

Sebelum ini petinju Argentina, Hugo Santillan meninggal dunia pada Julai lalu di Buenos Aires dan dua hari sebelum itu petinju Russia, Maxim Dadashev meninggal dunia di Maryland.

DiBella dalam kenyataannya berkata beliau berharap kematian Patrick akan menyedarkan penguasa Amerika Syarikat untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan sukan itu.

“Ia menjadi semakin sukar untuk menerangkan atau menjelaskan betapa bahayanya tinju pada ketika ini,” kata DiBella.