Pihak Berkuasa Hawaii Mengesan Individu Miliki Simptom ‘Koronavirus’ (COVID-19)

Pihak Berkuasa Hawaii Mengesan Individu Miliki Simptom ‘Koronavirus’ (COVID-19)

0
SHARE

HONOLULU, HAWAII – Pihak berkuasa kesihatan Hawaii memulakan pencarian Jumaat, bagi mengesan sesiapa sahaja terbabit berhubung secara langsung dengan seorang lelaki Jepun yang jatuh sakit di pulau Oahu, dan disahkan positif ‘Koronavirus’ (COVID-19) sebaik pulang ke negara asalnya.

Kes berkenaan didedahkan kepada umum dalam satu sidang media oleh Gabenor David Ige dan beberapa pegawai kanan kesihatan yang berkata, lelaki itu dipercayai dijangkiti di Jepun sebelum memulakan perjalanan atau ketika berada di Hawaii.

Kesimpulan itu dibuat berdasarkan tempoh inkubasi 14 hari virus terbabit dan fakta semasa, bahawa lelaki berkenaan menunjukkan simptom, selepas berada di Hawaii kurang daripada seminggu.

Pesakit dan isterinya melawat Pulau Maui bermula dari 28 Januari hingga 3 Februari, sebelum meneruskan perjalanan ke Oahu dan menginap di sana sehingga pulang ke tanah air di Aichi Perfecture, Jepun pada 7 Februari, kata sumber.

Pengarah Kesihatan, Dr Bruce Anderson yang dipetik Reuters memberitahu wartawan bahawa lelaki terbabit tidak menunjukkan sebarang tanda sakit sehingga tiba di Oahu, apabila mula menunjukkan beberapa simptom pernafasan, walaupun tidak demam.

“Sebaik tiba di Jepun, keadaan pesakit menjadi semakin serius dan disahkan positif COVID-19 sebaik pergi mendapatkan rawatan lanjut di hospital,” katanya.

Pihak berkuasa kesihatan Hawaii dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS), Jumaat, sekali gus memaksa usaha mengesan penyakit menyamai COVID-19 dilakukan secara agresif.

“Kami memandang serius perkara ini dan memberi jaminan bahawa pihak berkuasa sudah bersedia untuk melaksanakan tindakan yang perlu,” kata gabenor.