Pihak Berkuasa Jepun Rampas 400kg Kokain Bernilai RM301 juta

Pihak Berkuasa Jepun Rampas 400kg Kokain Bernilai RM301 juta

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

TOKYO, JEPUN – Sebanyak 400 kilogram kokain yang dianggarkan bernilai AS$73 juta (RM301 juta) berjaya dirampas oleh pihak berkuasa Jepun dalam satu serbuan di sebuah pelabuhan berhampiran bandar Kobe, kata jurucakap kastam hari ini.

Difahamkan rampasan yang dibuat bulan lalu itu hanya didedahkan hari ini kerana pihak berkuasa masih menjalankan siasatan.

Memetik laporan AFP, seorang jurucakap berkata berikut adalah rampasan terbesar membabitkan kokain yang pernah dilakukan oleh pihak berkuasa Jepun.

Ia jauh lebih besar berbanding rampasan pada Ogos lalu apabila pihak berkuasa merampas 177 kilogram kokain di sebuah pelabuhan lain di wilayah Aichi di tengah Jepun.

Agensi berita Kyodo berkata, masih tidak diketahui dari mana kokain itu datang dan dipercayai ia dihantar secara salah ke Kobe.

Jepun mengamalkan undang-undang dadah yang ketat dan sekiranya tertangkap, pengguna berdepan hukuman berat.