PM Britain Arah Kajian Tergempar Terhadap Hukuman Jenayah Untuk Terus Pelihara Undang-Undang

PM Britain Arah Kajian Tergempar Terhadap Hukuman Jenayah Untuk Terus Pelihara Undang-Undang

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

LONDON, ENGLAND – Selepas berjanji menyediakan 10,000 penjara dan 20,000 anggota polis tambahan, Perdana Menteri Britain mengarahkan kajian tergempar dilakukan terhadap hukuman jenayah dalam usaha untuk memastikan undang-undang di negara tersebut terus terpelihara.

Kajian yang memberi tumpuan terhadap jenayah dan beberapa isu dalaman Britain sebelum negara itu keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) pada 31 Oktober tahun ini, menimbulkan spekulasi, Boris Johnson bakal mengumumkan pilihan raya.

Pejabat perdana menteri yang dipetik Reuters berkata bahawa kajian semula itu memberi tumpuan sama ada wajar pengganas dan penjenayah seksual menjalani hukuman setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan.

Johnson yang menggantikan Theresa May bulan lalu berkata, beliau mahu memastikan keyakinan terhadap sistem, bahawa hukuman seharusnya sesuai dengan jenayah yang dilakukan.

“Kita pernah melihat contoh, perogol dan pembunuh dibebaskan terlalu awal atau pesalah mengulangi jenayah sebaik saja mereka dibebaskan.

“Semua ini akan berakhir sekarang. Kita mahu mereka ditahan, dipenjara, dihukum dan dipulihkan dengan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau bakal mempengerusikan perbincangan bersama pegawai kanan polis dan pemimpin daripada perkhidmatan percubaan serta polis berhubungan rancangan itu, hari ini.

Terdahulu, beliau mengumumkan 10,000 lagi penjara tambahan dengan kos 2.5 bilion pound (RM12.56 bilion) dan berkata polis akan diberikan lebih banyak kuasa untuk menjejak dan menangkap orang awam.