PM Kanada Tuntut ‘Penjelasan Penuh’ Insiden Tembakan Pesawat Ukraine

PM Kanada Tuntut ‘Penjelasan Penuh’ Insiden Tembakan Pesawat Ukraine

0
SHARE
Justin Trudeau...

OTTAWA, KANADA – Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, menuntut Iran memberikan ‘penjelasan penuh’ mengenai insiden tembakan pesawat Ukraine berhampiran Tehran yang membunuh semua 176 orang di dalamnya, termasuk puluhan rakyat Kanada.

Trudeau berkata, beliau membuat tuntutan itu menerusi panggilan telefon kepada Presiden Iran, Hassan Rouhani, yang awal pagi semalam mengakui bahawa pesawat itu tersilap tembak oleh peluru berpandu Iran.

Pada sidang akhbar di televisyen, Trudeau yang dipetik AFP berkata bahawa beliau memberitahu Rouhani bahawa pengakuan itu adalah “satu langkah penting” tetapi “banyak lagi langkah yang perlu diambil.”

“Penyiasatan penuh dan lengkap mesti dijalankan,” katanya.

“Kami memerlukan penjelasan penuh mengenai bagaimana tragedi yang dahsyat itu boleh berlaku.”

“Iran mesti bertanggungjawab sepenuhnya,” kata Trudeau.

Perdana Menteri itu berkata, beliau menegaskan kepada Rouhani supaya Kanada dibenarkan menyertai penyiasatan itu.

Tiga anggota pasukan tindakan Kanada sedang dalam perjalanan ke Iran dan akan tiba dalam tempoh beberapa jam untuk menyokong anggota keluarga mangsa, kata Trudeau.

Ahli pasukan tambahan – dua penyiasat pengangkutan dan 10 wakil konsulat akan membantu pengenalan mangsa dan penghantaran pulang – akan menyusul, katanya sambil menambah bahawa Iran sedang berusaha untuk memberikan visa.

Kedua-dua negara tidak mempunyai hubungan diplomatik sejak 2012, merumitkan hubungan mereka sekarang.

Antara serpihan pesawat milik Ukraine International Airlines dipercayai menjadi mangsa tembakan Iran…(Sumber Foto; Ruters)

Menurut kiraan Ottawa, 57 warga Kanada, kebanyakan mereka warga Iran yang mempunyai dua kerakyatan, menaiki penerbangan Ukraine International Airlines itu apabila ia terhempas pada 8 Januari lalu sejurus selepas berlepas dari lapangan terbang Tehran.