PM Umum Hampir Semua Sektor Ekonomi Dan Aktiviti Perniagaan Dibenarkan Beroperasi Bemula...

PM Umum Hampir Semua Sektor Ekonomi Dan Aktiviti Perniagaan Dibenarkan Beroperasi Bemula 4 Mei Ini

0
SHARE
Tan Sri Muhyiddin Yassin...

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Hari Pekerja 2020 hari ini, mengumumkan bahawa hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di Malaysia akan dibenarkan beroperasi semula tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bermula 4 Mei ini.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, Majlis Keselamatan Negara dan Jemaah Menteri telah mengadakan perbincangan secara panjang lebar dalam mencari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID 19.

“Atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat,” katanya.

Muhyiddin berkata, senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan beroperasi boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara.

Menurutnya, senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan ini akan disemak dari masa ke semasa bergantung kepada perkembangan kes jangkitan COVID-19.

“Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi. Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.

“Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran,” katanya lagi.

Selain perniagaan, aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan, tegas beliau.Perdana Menteri dalam perutusannya berkata beliau memahami bahawa setelah hampir dua bulan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai dalam kalangan tenaga kerja ingin kembali bekerja kerana sepanjang PKP mereka terputus mata pencarian dan memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan masing-masing.

“Begitu juga bagi negara kita. Terhenti aktiviti ekonomi bermakna terhentilah sumber pendapatan negara.

“Cukai tidak boleh dikutip, industri tidak boleh berkembang, pertumbuhan ekonomi terencat dan yang paling ingin kita elakkan ialah lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup dan ramai pekerja kehilangan pekerjaan,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata negara kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan dan jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion.

“Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata sejak dari awal kerajaan mempunyai perancangan yang jelas dalam memerangi wabak Covid-19 serta menghadapi krisis ekonomi, menggunakan strategi yang merangkumi enam pendekatan.

Menurutnya, pendekatan PERTAMA adalah ketegasan dalam tindakan mengawal penularan wabak COVID-19 dengan melaksanakan PKP;

KEDUA, membina ketahanan melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi;

KETIGA, menjana semula ekonomi secara teratur dan terkawal.

KEEMPAT pula adalah melaksanakan strategi pemulihan ekonomi dalam menghadapi normal baharu;

KELIMA, memperkasakan ekonomi secara menyeluruh demi kelangsungan masa hadapan dan keenam menyusun semula struktur ekonomi untuk membolehkan negara dan rakyat melangkah ke era kehidupan yang berubah dengan adanya ‘normal baharu’.