Polis Berkas Lelaki Cabut dan Merosakkan Bendera Parti Politik

Polis Berkas Lelaki Cabut dan Merosakkan Bendera Parti Politik

0
SHARE
Individu yang dipercayai mencabut dan merosakkan bendera parti politik...

BRICKFIELDS – Polis memberkas seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes mencabut dan merosakkan bendera sebuah parti politik di Persimpangan Jalan Sultan Abd Samad/Jalan Tun Sambanthan 4, Brickfields, di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Ruslan Khalid berkata, pihaknya telah menangkap seorang lelaki berusia 48 tahun, pada Khamis lalu.

“Lelaki berkenaan dipercayai terlibat dalam satu klip video yang memaparkan seorang individu mencabut dan merosakkan bendera sebuah parti politik di lokasi kejadian.

“Dalam kejadian tersebut, suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol akibat mengambil minuman keras,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius insiden seumpama ini dan menyeru agar orang ramai tidak mengambil tindakan dengan membelakangkan undang-undang.

“Sekiranya merasakan ada perbuatan mana-mana pihak yang dipercayai melanggar undang-undang pihak berkuasa tempatan, orang ramai wajar melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan.

“Perbuatan merosakkan harta milik sesiapa pun di tempat awam tetap merupakan perbuatan yang termasuk dalam kategori khianat sepertimana siasatan di atas dan boleh di kenakan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, setakat ini siasatan tidak menunjukkan suspek diupah oleh mana-mana pihak untuk melakukan perbuatan tersebut.

“Kita masih meneruskan siasatan, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut boleh tampil atau menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.