Polis Sedang Siasat Bagaimana Cara Abu Mayat Chin Peng ‘Lolos’ Ke Malaysia

Polis Sedang Siasat Bagaimana Cara Abu Mayat Chin Peng ‘Lolos’ Ke Malaysia

0
SHARE
Datuk Huzir Mohamed...

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed telah mengenal pasti laluan masuk dan tarikh abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, dibawa pulang ke Malaysia.

Menurutnya, kini pihaknya bersama Polis Kontinjen Perak sedang menjalankan siasatan lanjut bagaimana abu mayat berkenaan boleh ‘lolos’ ke Malaysia dari Thailand.

“Kita sedang siasat bagaimana cara abu mayat itu dibawa masuk ke sini, termasuk kemungkinan ia dibawa masuk secara rahsia.

“Buat masa ini, kita tidak akan dedahkan hasil siasatan kerana masih terlalu awal, tetapi kita sudah kenal pasti laluan dan bila,” katanya dalam satu kenyataan sidang media di Bukit Aman.

Katanya, polis difahamkan perbuatan itu dilakukan oleh satu kumpulan tertentu sebelum abu mayat Chin Peng ditaburkan di laut berhampiran Lumut, Perak dan di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.

Tambah beliau, laporan media dan perbuatan membawa masuk abu mayat bekas pemimpin PKM itu jelas boleh menggugat ketenteraman awam.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata Huzir.

Semalam, Abu mayatnya dilaporkan oleh sebuah portal media tempatan telah tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, berkata mereka membawa pulang abu mayat Chin Peng dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu.

Katanya, mereka turut menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang pada hari yang sama abu mayat tiba di Ipoh.

Menurut Kan Fook, sebahagian abu Chin Peng ditaburkan di laut berhampiran Lumut dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, tinggal dalam buangan di Thailand sejak Perjanjian Damai Hat Yai 1989 dan meninggal dunia pada 16 September 2013 di sebuah hospital di Bangkok akibat sakit tua pada usia 90 tahun di mana kerajaan pada ketika itu memutuskan larangan bagi membawa mayat atau pun abunya pulang ke Malaysia untuk disemadikan.