Polis Tahan 22 Lelaki Anggota ‘Geng Pak Su’

Polis Tahan 22 Lelaki Anggota ‘Geng Pak Su’

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

ALOR SETAR – Polis semalam menahan 22 lelaki lagi individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Pak Su’ yang aktif dalam kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand.

Menurut laporan portal berita Bernama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid dipetik berkata, mereka yang berumur antara 20-an dan 40-an ditahan di sekitar Kubang Pasu.

Beliau berkata, mereka ditahan selama 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Kita akan menjalankan siasatan selama tempoh 28 hari ini untuk melihat sejauh mana penglibatan mereka dengan kegiatan kumpulan sindiket penyeludupan di sempadan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, polis juga sedang menjalankan siasatan bagi mengesan kemungkinan terdapat lagi individu yang terlibat dalam kumpulan berkenaan.

“Kita ingin memberi peringatan kepada mereka yang terlibat dengan kegiatan penyeludupan di sempadan untuk berhentikan kegiatan (penyeludupan tersebut).

“Untuk makluman pada 1 November ini sempadan akan dibuka 20 jam, jadi kita akan meningkatkan lagi pencegahan untuk pastikan tiada lagi kegiatan penyeludupan di sempadan,” katanya.