Polis Tahan 400 Individu Buat Rusuhan Pada Malam Tahun Baharu Di Hong...

Polis Tahan 400 Individu Buat Rusuhan Pada Malam Tahun Baharu Di Hong Kong

0
SHARE
Sumber Foto; Reuters...

HONG KONG – Kira-kira 400 individu ditahan selepas mengambil bahagian dalam rusuhan Tahun Baharu di Hong Kong selepas ia bertukar ganas hingga menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi mengawal keadaan.

Penahanan itu menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan kepada 7,000 orang sejak bantahan di bandar berkenaan semakin memburuk bermula Jun lalu, susulan pelaksanaan rang undang-undang ekstradisi ke China.

Ketegangan semalam semakin memuncak apabila beberapa tangkapan dibuat di sebuah bar di daerah Wan Chai, iaitu lokasi menempatkan premis kumpulan perbankan global, HSBC yang menjadi sasaran perusuh beberapa minggu kebelakangan ini.

Apabila pertempuran meletus, sejumlah besar perusuh yang berpakaian serba hitam menyerbu ke lokasi manakala beberapa lain membentuk satu rantaian bagi menghulurkan beberapa peralatan termasuk batu-bata, sekali gus memaksa polis menggunakan kekerasan.

Polis kemudian mengarahkan penganjur menamatkan bantahan berkenaan lebih awal dan orang ramai mula bersurai apabila meriam air mula digunakan.

Dalam satu taklimat lewat malam tadi, Superintendan Kanan, Ng Lok Chun yang dipetik Reuters memberitahu wartawan, tangkapan yang dibuat membabitkan beberapa kesalahan seperti berhimpun secara haram dan memiliki senjata dilarang.

Sepanjang beberapa bulan lalu, perusuh mengadakan gerakan besar-besaran mendesak demokrasi penuh dari China dan siasatan bebas berhubung keganasan polis.

Tangkapan turut dibuat pada Ambang Tahun Baharu apabila perusuh memenuhi jalan utama di semenanjung Kowloon ketika ribuan orang ramai mengira detik tengah malam di sepanjang pelabuhan Victoria.

Beberapa perusuh mendakwa HSBC bersubahat dengan pihak berkuasa bagi menghalang aktivis meraih kutipan membiayai kempen mereka.

Bank berkenaan bagaimanapun menafikan sebarang pembabitan.