Polis Tahan 9 Individu Lelaki Terbabit Pencemaran Di Pasir Gudang

Polis Tahan 9 Individu Lelaki Terbabit Pencemaran Di Pasir Gudang

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

JOHOR BAHRU – Sembilan individu lelaki dipercayai suspek terbabit dalam perbuatan pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang di sini, hari ini telah ditahan oleh pihak polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan perkara berikut dan berkata bahawa semua suspek itu ditahan dalam satu operasi khas semalam.

“Operasi untuk mengesan suspek yang bertanggungjawab dalam kes ini telahpun dijalankan semalam. Setakat ini, sebahagian suspek telahpun direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 23 Mac ini bagi membantu siasatan…

“Dua suspek ditahan di Johor manakala tujuh lagi ditahan di luar negeri ini. Operasi memburu suspek lain masih diteruskan. Saya tidak boleh dedahkan terlalu banyak maklumat kerana akan mengganggu siasatan dan operasi polis,” katanya.

Tan Sri Dato’ Seri Mohamad Fuzi Harun…

“Permohonan reman bagi sebahagian lagi suspek akan dibuat pada hari ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 278, 289 dan 326 Kanun Keseksaan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din.