PPBM Tegaskan Manifesto PH Bukan Seperti Bible

PPBM Tegaskan Manifesto PH Bukan Seperti Bible

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan, bersetuju manifesto Pakatan Harapan (PH) bukan seperti kitab suci Bible, sebaliknya satu rujukan atau panduan semata-mata.

Memetik kenyataan BH Online, Wan Saiful, yang merangka manifesto PH berkata, akan ada beberapa perkara tidak boleh dilaksanakan kerajaan seperti janji yang digariskan dalam Buku Harapan, susulan PH tidak memiliki data dan akses maklumat yang mencukupi ketika merangkanya.

“Buku Harapan bukan Bible tetapi panduan. Manifesto perlu dipinda mengikut data terkini dan situasi semasa ekonomi,” katanya merujuk kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui kerajaan mungkin tidak dapat merealisasikan semua 10 janji dalam 100 hari seperti yang dijanjikan manifesto PH.

Wan Saiful bercakap ketika Forum Terbuka Akta Dana Politik, yang dianjurkan Kumpulan Bekas Penjawat Awam, G25 di Pusat Ekuin Bukit Kiara di sini, sebentar tadi.

ANTARA ahli panel, Dr Wong Chin-Huat (dari kanan), Wan Saiful wan Jan, Dr Terence Gomez, Tan Sri Ramon dan Cynthia Gabriel pada Forum umum mengenai Pembaharuan Pembiayaan Politik Moderator Dr. Edmund Terence Gomez dan bersama tiga ahli panel di Dewan Perdana Bukit Kiara Equestrian & Country Club Kuala Lumpur. – Foto Aswadi Alias

Forum berkenaan dikendalikan moderator, Prof Dr Edmund Terence Gomez bersama barisan panel, Tan Sri Ramon Navaratnam, Dr Wong Chin-Huat dan Cynthia Gabriel.

Mengulas lanjut, Wan Saiful turut memberi contoh bahawa kerajaan PH hanya menyedari hutang negara melebihi satu trilion selepas mengambil alih pentadbiran negara.

“PH masih mempunyai banyak masa, empat tahun dan 10 bulan untuk melakukan banyak perkara dan meminta untuk menjayakan semua manifesto dalam 100 hari adalah tidak realistik…

“Jangan lupa, kita perlu membersihkan banyak perkara yang sudah dilakukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam 60 tahun,” katanya.

Wan Saiful berkata beliau berharap dalam pilihan raya umum akan datang, pembangkang tidak akan berdepan masalah sama yang dilaluinya iaitu kekurangan data dan akses maklumat untuk merangka manifesto.

“UMNO mendiskriminasi dan menjadikan kita mangsa kepada akses maklumat. Kita tidak perlu melakukan perkara yang sama,” katanya.