PPM Sabah Laksanakan Operasi Bersepadu Khas Pantau Aktiviti Bom Ikan

PPM Sabah Laksanakan Operasi Bersepadu Khas Pantau Aktiviti Bom Ikan

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Prihatin terhadap bahaya aktiviti bom ikan, Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah melaksanakan operasi bersepadu khas dengan Jabatan Perikanan Sandakan bagi memeriksa bot dan memastikan kawasan perairan Sandakan bebas daripada aktiviti bom ikan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata dua bot ronda digunakan dalam operasi tiga hari sejak 11 Julai itu, iaitu RH54 dan PSC66 dengan kekuatan seorang pegawai dan 16 anggota PPM, termasuk empat pegawai Jabatan Perikanan Sandakan.

“Objektif operasi ini adalah membuat pemantauan bagi mencegah aktiviti bom ikan di laut dan penjualan hasil dari aktiviti bom ikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali…

Menurut Mohamad Pajeri, dalam operasi itu, pemantauan dilakukan di kawasan perairan Pulau Bakungan Kecil dan Pulau Selingan.

Beliau juga berkata pemeriksaan turut dijalankan di premis-premis penjualan di kawasan Pasar Batu 8 di sini bagi memastikan tiada penjualan hasil laut daripada aktiviti bom ikan.

“Pihak PPM akan terus menjalankan pemantauan bagi mencegah aktiviti bom ikan di kawasan perairan Sandakan dengan kerjasama yang erat dari Jabatan Perikanan,” katanya.

Pada 5 Julai lepas, dua pelancong China dan seorang jurulatih selaman maut akibat bom ikan ketika melakukan selaman skuba di perairan berhampiran Pulau Kalapuan, Semporna.

– BERNAMA