Presiden AS Tuduh Iran ‘Dalang’ Serangan Dua Kapal Tangki

Presiden AS Tuduh Iran ‘Dalang’ Serangan Dua Kapal Tangki

0
SHARE

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin menuduh Iran sebagai dalang serangan dua kapal tangki di Teluk Oman, lapor agensi berita China, Xinhua.

Tuduhan itu dibuat berdasarkan bukti satu rakaman video yang dikongsi tentera AS. Kedua-dua kapal tangki itu diserang pada awal pagi Khamis lalu, salah satu daripadanya dikendalikan oleh sebuah firma Jepun.

“Iran melakukannya dan anda tahu mereka berbuat demikian ke­rana anda sudah melihat bot berke­naan,” kata Trump dalam satu wawancara bersama stesen te­levisyen Fox News, merujuk kepada rakaman video dikongsi oleh Pusat Perintah AS (USCENTCOM).

Petikan rakaman video menunjukkan sebuah bot kecil milik peronda Tentera Laut Iran mendekati kapal tangki Kokuka Courageous di Teluk Oman…

“Mereka tidak mahu tinggalkan bukti. Ini kerja mereka (Iran),” kata Trump yang menambah bahawa pihaknya tidak akan memandang ringan perkara itu.

USCENTCOM berkongsi rakaman video pada Khamis lalu yang mendakwa sebuah kapal milik Pengawal Revolusi Republik Iran (IRGC) mengalihkan sebuah periuk api belum meletup daripada badan kapal Kokuka Courageous selepas serangan berlaku.

“Pada pukul 4.10 petang waktu tempatan, sebuah bot peronda Gashti Class IRGC mendekati Kokuka Courageous dan dilihat serta dirakam mengalihkan periuk api belum meletup daripada Kokuka Courageous,” kata jurucakap USCENTCOM, Bill Urban dalam satu kenyataan.

Kenyataan sama menekankan bahawa AS tidak mempunyai kepentingan dalam konflik terbaharu di Asia Barat, tetapi pada masa sama menekankan bahawa AS dan sekutu di rantau itu akan mengambil semua tindakan untuk melindungi diri dan kepentingan mereka.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo pada Khamis lalu menuduh Iran bertanggungjawab terhadap serangan dua kapal di Teluk Oman, Teheran menafikan tuduhan itu.

Serangan berlaku pada ketika lawatan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe ke Iran, iaitu kunjungan pertama dibuat oleh seorang perdana menteri Jepun sejak Takeo Fukuda pada tahun 1978.

Lawatan itu untuk mengurangkan ketegangan antara AS dan Iran…

“Pada ketika saya menghargai Perdana Menteri Abe ke Iran bertemu Ayatollah Ali Khamenei, saya secara peribadi merasakan ia terlaIu awal untuk memikirkan bagi membuat satu perjanjian. Mereka belum bersedia dan begitu juga kami!” kata Trump menerusi Twitter.

– BERNAMA