Pribumi Bersatu Sah Bertapak Di Sabah, Parti Warisan Sabah Dan UPKO Mungkin...

Pribumi Bersatu Sah Bertapak Di Sabah, Parti Warisan Sabah Dan UPKO Mungkin Istihar Tadbir Kerajaan Negeri Sabah Secara Bersendirian?

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) secara sah akan melebarkan sayapnya ke Sabah.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat majlis kepimpinan tertinggi BERSATU petang kelmarin dan diumumkan Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tun Dr Mahathir dalam satu kenyataan “Kita pergi Sabah sebab nak kuatkan parti. Kita tidak akan menentang (Warisan). Kita ke sana (Sabah) bukan untuk tukar kerajaan. Itu bukan niat kita.”

Untuk rekod kemasukan BERSATU ke Sabah sejak awal lagi telah ditentang oleh Datuk Seri Shafie Apdal termasuklah beberapa pimpinan Parti Warisan Sabah dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan Parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) seperti Amanah, PKR dan DAP telah pun bertapak di Sabah malahan PKR dan DAP adalah di antara Parti yang awal bertapak di Sabah.

Sebahagian pemerhati politik turut berpandangan Parti Warisan Sabah tidak sepatutnya menghalang BERSATU untuk melebarkan sayap mereka ke Sabah, malahan Parti Warisan Sabah akan bertambah kukuh dengan adanya BERSATU di Sabah. Adalah amat menghairankan apabila BERSATU disekat masuk ke Sabah oleh Parti Warisan seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan Tun Dr Mahathir selaku Pengerusi BERSATU dan Perdana Menteri Malaysia.

Namun, agak menarik ketika ini untuk dibincangkan adalah mengenai kononnya wujud spekulasi bahawa Parti Warisan Sabah termasuk Parti UPKO akan terus menentang kemasukan BERSATU ke Sabah malahan dikatakan akan bertindak mentadbir Kerajaan Sabah tanpa campur tangan Pakatan Harapan (PH).

Pada pilihan raya ke 14 yang lepas Parti Warisan Sabah menang 21 kerusi daripada 41 kerusi yang ditandingi, namun bilangan kerusi Warisan bertambah dengan kemasukan beberapa orang ADUN Barisan Nasional (BN) ke dalam Parti Warisan diantaranya adun Sebatik, Tanjung Batu, Kemabong dan beberapa orang lagi wakil rakyat.

Dalam pada itu Baharuddin Al-Hadi seorang penganalisis politik bebas ketika dihubungi turut menyatakan kemasukan BERSATU ke Sabah adalah petanda (signal) oleh Tun Mahathir bahawa ketidakpuasan rakyat Sabah kepada corak pentadbiran Shafie telah sampai ke telinga Tun, malahan kemasukan BERSATU ke Sabah dilihat sebagai pemantau kepada Shafie.

Baharuddin turut ditanya kemungkinan Shafie akan membentuk Kerajaan Negeri Sabah dengan UPKO dan tidak lagi bekerjasama dengan Pakatan Harapan, Baharuddin berkata “tidak mustahil perkara ini akan berlaku, memandangkan jumlah kerusi Parti Warisan ketika ini mencukupi bagi membentuk Kerajaan”.

Baharuddin turut berkata “dengan tambahan jumlah ADUN dilantik dan pengaruh Tuan Yang Terutama yang dijangkakan akan berpihak kepada Shafie tidak mustahil Sabah akan berhadapan dengan satu lagi drama dan senario politik baharu yang lebih panas”.