Prinsip Wala’ Akan Bantu Kemenangan Dalam Pilihan Raya – PM Najib

Prinsip Wala’ Akan Bantu Kemenangan Dalam Pilihan Raya – PM Najib

0
SHARE
Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan rasa kagum dengan prinsip kesetiaan atau wala’ kepada pemimpin yang diamalkan dalam dunia seni persilatan yang seharusnya diterapkan dalam pertubuhan lain termasuk politik.

Katanya, prinsip penting dalam dunia seni bela diri itu jika diamalkan akan membantu dalam perjuangan dan kemenangan terutama dalam pilihan raya.

“Kalau kita wala’ dan setia, kita tidak akan bergaduh antara satu sama lain, kalau kita wala’ dan setia, arahan pasti akan kita penuhi, kalau kita wala’ dan setia tiadalah sikap seperti boikot dan menembak kaki sendiri, sabotaj dan lain-lain lagi.

“Bila saya tuntut wala’ daripada anda semua ia bukan atas nama Najib Razak tetapi atas jawatan sebagai pemimpin utama negara Malaysia yang tercinta,” katanya semasa berucap di hadapan ribuan pesilat pada majlis Himpunan Raksasa Guru-Guru Silat Negara 2018 anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) di Gombak, dekat sini, hari ini.

Perdana menteri berkata, prinsip lain yang terkandung dalam dunia persilatan seperti berani menghadapi dugaan, semangat kental, sahsiah dan keperibadian yang mulia serta disiplin yang tinggi juga harus dihayati untuk menentu dalam mencapai sesuatu kejayaan.

Menurut Najib, jika nilai-nilai tersebut diamalkan ia dapat mengelakkan daripada berlakunya gejala jenayah, perpecahan, permusuhan dalam masyarakat dan mengukuhkan perpaduan terutamanya dalam kalangan orang Melayu.

“Orang Melayu akan lebih berani menghadapi cabaran, orang Melayu tidak akan menyerah kalah, inilah yang akan menentukan zaman kegemilangan kita,” katanya.

Menjelas lanjut, Najib berkata walaupun orang Melayu hari ini memegang tampuk kekuasaan negara, namun dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan, setiap lima tahun kuasa itu perlu dikembalikan kepada rakyat.

Katanya, kerajaan hari ini sememangnya amat dekat dengan dunia seni persilatan dan pengamalnya dan sentiasa berusaha mempertahankannya atas nama agama, bangsa dan negara.

Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan untuk memberi sumbangan kepada Pesaka bagi membina sebuah kompleks silat negara yang akan menjadi pusat pertubuhan itu menjalankan aktiviti selain meningkatkan martabat seni bela diri rasmi negara itu.

Beliau juga mengumumkan akan meluluskan geran tahunan kepada Pesaka untuk digunakan pertubuhan itu bagi menjalankan aktiviti selain menjaga kebajikan guru dan pesilat di bawah naungannya, namun tidak menyatakan secara terperinci jumlah peruntukan untuk kedua-dua tujuan tersebut.

Turut hadir pada majlis itu Presiden Pesaka Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Mahaguru Muda Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

– BERNAMA