PRK DUN Balakong; SPR Ingatkan Majikan Supaya Benarkan Pekerja Keluar Mengundi

PRK DUN Balakong; SPR Ingatkan Majikan Supaya Benarkan Pekerja Keluar Mengundi

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan para majikan memberi waktu yang munasabah kepada pekerja bagi memastikan mereka dapat keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia esok.

Memetik kenyataan Kosmo Online, Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood dipetik berkata bahawa jika majikan menghalang pekerjanya untuk keluar mengundi, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut seksyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan berdepan denda sebanyak RM5,000 atau dipenjara selama satu tahun jika sabit kesalahan.

“Peringatan ini berikutan sebahagian pengundi yang bekerja dalam sektor swasta berkemungkinan bekerja memandangkan kebanyakkan kilang-kilang dan syarikat beroperasi pada hari esok.

“Selain itu, SPR juga mengingatkan semua pihak bahawa pada hari mengundi tiada sebarang aktiviti berkempen boleh dilakukan terutamanya aktiviti merayu undi termasuklah di media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Othman menasihatkan kepada pekerja-pekerja parti dan pengundi supaya mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan oleh SPR serta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan perjalanan proses pengundian bagi PRK ini berjalan lancar, aman serta harmoni.